PRK: Sayap Pemuda, Puteri Rakam Ucapan Terima Kasih Buat Para Pengundi

TAPAH, 27 April – Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada para pengundi yang telah memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengemudi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, meskipun pelbagai sentimen telah ditabur, rakyat masih meletakkan kepercayaan kepada UMNO/BN.

“Kita dikutuk, diperlekehkan dan dikatakan tidak mempunyai taring lagi. Tetapi kita kekal diam, tenang dan teruskan perjuangan, kerana percaya kita bukan seperti yang dikatakan mereka.

“Diam bukan bermakna lemah. Diam bukan bermakna mengaku kalah. Dalam diam kita mengatur langkah. Dalam diam kita bermuhasabah dan membaiki kelemahan… kerana yang diam itu telah bersuara di peti undi

“…mereka yang diam itu sebenarnya adalah majoriti memerlukan politik baharu, matang dan membina minda rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata UMNO/BN akan terus memperbaiki kelemahan dan bermuhasabah serta berkeyakinan bahawa rakyat mampu menilai.

“Terima kasih kepada semua pengundi Ayer Kuning dan kepada semua jentera yang telah memenangkan BN. Kita teruskan bermuhasabah dan perbaiki kelemahan, Insya-Allah rakyat mampu menilai. The silent majority has spoken!” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, kejayaan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning adalah hasil daripada usaha gigih dan komitmen tinggi semua pihak.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dr Ustaz Yusri atas kemenangan gemilang di DUN Ayer Kuning. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih serta komitmen tinggi beliau bersama seluruh pasukan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah.

“Tidak dilupakan, jutaan terima kasih kepada jentera Puteri dan seluruh jentera Barisan Nasional yang telah bertungkus-lumus merencana strategi, turun padang, serta memberi sepenuh tenaga dalam memastikan kemenangan ini menjadi kenyataan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat serta membawa kemajuan yang lebih baik di Ayer Kuning,” katanya.

Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit