Kemenangan BN di Ayer Kuning Bukti Rakyat Tolak Politik Perpecahan – Mohd Rafi
KUALA LUMPUR, 27 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai bukti jelas bahawa rakyat menolak politik adu domba, kebencian dan perpecahan yang sering dimainkan pihak lawan.
Menurut beliau, kejayaan itu bukan sekadar kemenangan individu, sebaliknya satu isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan, perpaduan dan hala tuju yang lebih nyata untuk masa depan negeri dan negara.
“Kita tidak boleh lagi terperangkap dalam politik retorik kosong dan permainan emosi yang hanya akan memecahbelahkan perpaduan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Mohd Rafi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Ustaz Yusri Bakir atas kemenangan tersebut dan berharap amanah yang diberikan dapat dipikul dengan penuh integriti, keikhlasan dan kebijaksanaan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi di Ayer Kuning yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan membuat pilihan yang tepat demi pembangunan kawasan serta kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atas kepimpinan yang matang dan konsisten.
Tidak dilupakan, penghargaan juga diberikan kepada seluruh jentera BN dan Pakatan Harapan yang telah bertungkus-lumus memastikan kemenangan ini menjadi realiti.
“Keringat kalian adalah nadi kepada kejayaan ini. Kemenangan ini adalah hasil kesepaduan seluruh kepimpinan dan jentera parti bersama rakan-rakan dalam komponen serta Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.
Mohd Rafi berharap kemenangan ini menjadi titik tolak kepada fasa baharu yang lebih baik untuk Ayer Kuning dan negeri Perak secara keseluruhannya.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi). – UMNO Online