Kemenangan Ayer Kuning Signal Kepercayaan Rakyat Kepada UMNO/BN – SUA
TAPAH, 27 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan
kemenangan manis Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai signal besar kepercayaan rakyat terhadap prestasi UMNO dalam kerajaan.
Beliau berkata ia juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap kukuhnya kerjasama antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Alhamdulillah, Barisan Nasional berjaya mengekalkan kemenangan di PRK Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 sekali ganda lebih daripada majoriti kemenangan yang diraih pada PRU 2022.
“Nyata juga segala fitnah dan hasutan pihak lawan semakin tidak diterima oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
“Malah kejayaan BN merampas tiga buah PDM (Kg. Batu Masjid, Kg. Batu Tiga, Changkat Petai) yang sebelum ini dimenangi PN menunjukkan pembohongan mereka telah ditolak rakyat sedikit demi sedikit.
“Maka saya menyeru sahabat-sahabat untuk kekal istiqamah. Dikala pihak lawan memberi cercaan, kita teguh menawarkan jasa kepada rakyat. Disaat pihak lawan melempar fitnah tohmahan, kita menonjolkan budi pekerti anjuran syariat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dr Asyraf dalam pada itu berkata rakyat lebih bijak menilai pemimpin dan parti yang ikhlas berkhidmat berbanding mereka yang sekadar berjanji hikayat.
Beliau dalam pada itu berharap Dr Ustaz Yusri untuk melaksanakan amanahnya sebaik mungkin kepada rakyat.
“Bersabarlah dalam mengisi kemenangan ini. Jangan lalai dengan nikmat yang dikecapi. Tunaikan janji, teguhkan khidmat bakti.
“Kerana amanah yang dipikul ini, akan ditimbang oleh Rabbul Izzati,” ujar beliau.
Untuk rekod BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila Dr Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia (1,106 undi). – UMNO Online