‘Undi Untuk Masa Hadapan Yang Lebih Baik’ – Pengundi
TAPAH, 26 April – Berkerusi roda tidak menghalang seorang wanita, Umul Ilmah Mohd Toha, 53 tahun menunaikan tanggungjawab mengundi sebagai warganegara bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ditemui media usai menunaikan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong, beliau dari Kampung Tengah yang menghidap penyakit buah pinggang memaklumkan keluar mengundi untuk masa hadapan yang lebih baik.
“(Keadaan) Tidak menghalang saya walaupun begini untuk masa depan.
“Harapan saya untuk wakil rakyat boleh bantu rakyat turun padang selalu,” katanya.
Mohamad Haiqal Azhar, 23 yang menemani ibunya itu memaklumkan beliau pulang ke Ayer Kuning semalam dan akan kembali ke Nilai petang ini.
Kali kedua mengundi pada kali ini Haiqal memaklumkan kepulangannya untuk menunaikan tanggungjawab mengundi demi pembangunan Ayer Kuning.
“Mak sekarang sakit buah pinggang dia tak larat, sakit sejak lapan tahun dan perlu dialisis,” ujar beliau.
Untuk rekod, DUN Ayer Kuning ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional Dr Ustaz Yusri; Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.
Kerusi DUN Ayer Kuning ini mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online