PRK: Kemenangan BN Bukti Rakyat Tolak Politik Kebencian – Ahmad Zahid

TAPAH, 26 April – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi bukti jelas bahawa rakyat menolak politik kebencian dan memilih kestabilan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberi mandat kepada BN untuk mengemudi Ayer Kuning.

“Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah SWT, malam ini, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN N.48 Ayer Kuning melalui kemenangan calon kita, Dr Ustaz Yusri Bakir. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya rakamkan kepada semua para pengundi di Ayer Kuning yang telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab demokrasi mereka hari ini.

“Saya percaya kemenangan ini adalah kesinambungan legasi kecemerlangan allahyarham Ishsam Shahruddin, seorang tokoh yang telah menabur bakti dengan penuh dedikasi kepada rakyat Ayer Kuning. Semangat beliau akan terus hidup dan menjadi inspirasi kepada perjuangan kita.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh jentera BN, khususnya Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan rakan-rakan Kerajaan Perpaduan (PH) yang telah bertungkus lumus, berkampung, berkorban masa dan tenaga demi memastikan kejayaan ini. Semangat juang dan keikhlasan kalian adalah tiang seri kemenangan ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri beranggapan bahawa kemenangan tersebut turut memberi isyarat bahawa Kerajaan Perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dan negara dengan baik.

“Lebih manis lagi, saya dimaklumkan daripada 11 pusat daerah mengundi (PDM) yang tewas kepada pembangkang pada PRU yang lalu, sepuluh daripadanya kini kembali semula ke pangkuan BN.

“Kemenangan ini menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai. Mereka menolak politik kebencian dan memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan yang berwibawa. Ia juga isyarat kukuh bahawa Kerajaan Perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dan negara dengan baik, berasaskan prinsip perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Buat Dr Ustaz Yusri Bakir, ingatlah bahawa kemenangan ini membawa amanah yang besar di bahu anda. Teruskan khidmat bakti dengan rendah hati, dengan penuh keikhlasan dan komitmen untuk memajukan serta memakmurkan Ayer Kuning. Sekali lagi, terima kasih Ayer Kuning!” katanya.

Terdahulu, BN telah berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti undi 4,812 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit