PRK: Dr Ustaz Yusri Zahir Terima Kasih, Tekad Laksana Manifesto
TAPAH, 26 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberikan mandat kepada beliau sebagai wakil rakyat.
Ujarnya, beliau akan meneruskan usaha untuk mencapai apa yang telah dicitakan oleh penduduk di Ayer Kuning.
“Pertamanya saya ingin mengucapkan alhamdulilah, syukur kepada Allah SWT dengan limpah dan izin-Nya, saya telah diberikan amanah untuk menggalas satu tugas yang berat. Insya-Allah saya akan teruskan usaha untuk mencapai apa yang dicita-citakan oleh kawasan DUN Ayer Kuning.
“Di kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua jentera yang telah bertungkus-lumus di peringkat negeri dan bahagian serta pusat.
“Saya dedikasikan juga kepada UMNO Bahagian Tapah, pengurusan, Ahli Jawatankuasa (AJK), Wanita, Sayap Pemuda dan Puteri kerana telah berusaha untuk memenangkan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pengumuman keputusan PRK DUN Ayer Kuning di ‘Command Centre’ BN, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan komponen BN dan Pakatan Harapan (PH) yang telah membantu sepanjang kempen berlangsung.
“Terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Pakatan Harapan (PH), Friends of BN… Insya-Allah dengan usaha ini kita akan melaksanakan apa yang kita tekadkan dan tawarkan menerusi manifesto PRK ini,” katanya.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online