PRK Ayer Kuning: Ahmad Zahid Puas Hati Kerjasama Jentera BN, PH Sepanjang Kempen
BAGAN DATUK 28 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berpuas hati dengan kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Presiden UMNO itu berkata kesepakatan yang ditunjukkan sepanjang kempen PRK tersebut diterjemahkan dengan baik, sama seperti yang dilakukan pada PRK DUN Nenggiri Kelantan, dan DUN Mahkota Johor, sebelum ini yang membawa kepada kemenangan calon BN.
“Insya-Allah, kita akan berjaya mempertahankan kerusi itu (Ayer Kuning) dan saya doakan ustaz (Dr. Mohamad Yusri Bakir) akan berjaya.. mudah-mudahan Allah merestui dan memakbulkan doa ini.
“(Bagaimanapun) kemenangan ini bergantung kepada peratusan pengundi yang akan keluar mengundi memandangkan ada dalam kalangan pengundi Melayu yang baru pulang dari kampung selepas Hari Raya manakala pengundi Cina juga baru pulang dari perayaan Qingming,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Komival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah Sungai Sumun di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Muhd Khair Roman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut berharap agar jentera parti dapat membantu menggerakkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya harap cuaca tidak hujan sehingga petang dan jentera dapat lakukan ‘get out the voters’… saya harap mereka keluar rumah (untuk mengundi),” katanya.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran telah dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Proses pengundian hari ini melibatkan 31,280 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan tersebut. – BERNAMA