BN Pertahan Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Menang Dengan Majoriti 5,006 Undi
TAPAH, 26 April – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di pusat penjumlahan undi di Dewan Merdeka di sini malam ini.
Ahmad Redhauddin turut mengumumkan bahawa 289 undi ditolak dan peratusan keluar mengundi pada PRK itu ialah 58.07 peratus.
Keputusan itu menyaksikan DUN Ayer Kuning terus menjadi kubu kuat BN yang menguaso sejak 1986. – BERNAMA