Ahmad Zahid Rai Rumah Terbuka Bersama Penduduk Bagan Datuk

BAGAN DATUK, 26 April – Lebih 10,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, yang berlangsung di Dewan Dato’ Lope Hisham malam ini.

Majlis anjuran UMNO Bahagian Bagan Datuk ini memberi peluang kepada rakyat untuk lebih dekat dengan pemimpin negara sambil meraikan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh mesra.

Keistimewaan majlis ini terserlah apabila ia dihadiri oleh tetamu pelbagai kaum, bukan sahaja dari kalangan penduduk tempatan, malah turut disertai pengunjung dari luar daerah. Ia sekali gus mencerminkan semangat perpaduan, ukhuwah, dan kasih sayang antara masyarakat berbilang bangsa.

Menerusi tinjauan UMNO Online, rumah terbuka ini bermula pada jam 8.00 malam dengan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO telah tiba dan menyambut para tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Dalam majlis tersebut, beliau juga menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menambahkan keceriaan suasana.

Penganjuran majlis ini jelas mencerminkan usaha memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai juadah istimewa seperti sate, martabak, soto ayam, cendol, char kuey teow, apam balik, serta pelbagai hidangan lain yang menambahkan kemeriahan majlis rumah terbuka ini. – UMNO Online 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit