Tak Perlu Jadi ‘Hero’, ADUN Melor Diingat Jangan Campur Tugas Polis

KUALA LUMPUR, 24 April – Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohaimi Wan Daud agar tidak mencampuri urusan polis dan biarlah mereka buat kerja mereka.

Tegasnya, sekiranya Wan Rohaimi rasa mahu buat kerja polis, letak jawatan sebagai ADUN dan masuk Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

“Ini isu keselamatan rakyat. Serahkan kepada mereka yang ada pengetahuan, latihan dan kepakaran dalam bidang ini. Jangan kelirukan orang ramai hanya kerana ingin kelihatan ‘hero’ dalam Dewan Negeri.

“Saya percaya ADUN Melor seorang berpendidikan Undang-undang dan tahu berkenaan pengasingan kuasa Eksekutif dan Legislatif dalam Doktrin ‘Separation of Power’ yang diamalkan dalam pentadbiran negara ini. ADUN sebagai kuasa legislatif tak perlu takut dengan kerja jujur oleh golongan eksekutif dan pelaksana dalam kerajaan yang langsung tiada kepentingan politik.

“DUN bukan medan untuk bermain politik murahan dan mencari populariti dengan menyerang institusi yang menjalankan tugas mereka secara profesional. Sebagai pemimpin, tugas kita bukan menafikan masalah, tetapi menyelesaikannya bersama. Jangan jadikan keselamatan rakyat sebagai bahan mainan politik,” katanya.

Nik Saiful yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh berkata Ketua Polis Negeri bercakap berdasarkan fakta dan statistik yang sememangnya menjadi tugas hakiki.

“Ketua Polis Negeri Kelantan, CP Datuk Mohd Yusoff Mamat berbicara berdasarkan fakta dan statistik terkini bukannya berdasarkan emosi atau kepentingan politik. Teguran beliau adalah berasaskan tanggungjawab terhadap keselamatan rakyat Kelantan.

“Ini bukan soal maruah negeri atau pertandingan negeri paling baik tetapi teguran dan peringatan oleh Ketua Polis Negeri kepada masyarakat untuk membanteras gejala sosial yang meningkat di negeri ini,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, daripada sibuk mempertikaikan statistik kes rogol dan jenayah yang dibentangkan oleh pihak polis, lebih baik beliau balik ke kawasan dan jalankan tanggungjawab sendiri.

“Periksa dan baiki lampu-lampu jalan di kampung, khususnya sepanjang laluan Melor ke Peringat, yang diketahui ramai amat gelap dan berisiko. Kita tidak mahu kejadian rogol berlaku dalam gelap di kawasan beliau. Hanya kerana pemimpin kawasan leka berpolitik atau tinggal jauh di Kuala Lumpur.

“Adakah beliau takut peningkatan kes jenayah dan dadah ini akan mencemarkan imej pentadbiran negeri yang kononnya menjunjung dan berteraskan Islam selama ini? Penyakit perlu diubati, bukan disembunyikan,” ujarnya.

Ujarnya lagi, polis ini macam doktor juga, mereka tidak akan menyembunyikan fakta dan bercerita kisah yang indah semata-mata hendak menutup masalah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit