PRK: Terus Beri Dukungan Kepada BN – Ahmad Zahid
TAPAH, 25 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning terus memberi dukungan kepada calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir pada hari pengundian esok.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri malah percaya dengan gerak kerja dilakukan jentera BN yang dibantu Pakatan Harapan (PH) pada kempen dua minggu ini dalam memperkenal calon, Dr Ustaz Yusri kepada seramai mungkin rakyat di kawasan ini.
“Beberapa jam dari sekarang pengundi di Ayer Kuning akan menentukan wakil rakyat yang akan dipilih.
“Kesiapsiagaan jentera BN bersama Pakatan Harapan (PH) telah digerakkan ke peringkat optimum dan kita telah pergi ke akar umni melalui pelbagai pendekatan.
“Kita harap pengundi akan terus memberi dukungan kepada calon BN untuk beri kesinambungan perkhidmatan sebagaimana dilakukan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin. Saya harap pengundi di Ayer Kuning bijak untuk memilih calon yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik iaitu calon BN,” katanya
Ahmad Zahid berkata demikian ketika sidang media usai Majlis Santunan Kasih Syawal yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut sama berpandangan bahawa pembangkang pada ketika ini menyedari bahawa mereka hilang sokongan pada PRK ini.
Menurut Ahmad Zahid ini kerana, perkhidmatan diberi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada keseluruhan rakyat negeri ini dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan kepada penduduk Tapah memberi signal kepada kesungguhan komitmen pemimpin BN.
“Saya fikir mereka sedar bahawa Perikatan Nasional (PN) kehilangan sokongan di Ayer Kuning dan kita yakin Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan telah memberikan perkhidmatan terbaik di sini termasuk Ayer Kuning.
“Sebagaimana kita ketahui gabungan yang disebutkan itu tak perlu sebab kita amat yakin kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad terbaik setakat ini bagi memberi perkhidmatan kepada seluruh negeri Perak termasuk Ayer Kuning khususnya.
“Saya yakin segala masalah pembangunan dan perkata terkait dengan keperluan rakyat dapat diselesaikan,” katanya.
Untuk rekod calon BN pada PRK ini berdepan dengan tiga penjuru antaranya wakil daripada Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.
Kerusi DUN Ayer Kuning ini mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.
Dr Ustaz Yusri yang juga yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah merupakan bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online