PRK: Realitikan Manifesto BN, Lonjakan Harapan Baharu Rakyat Ayer Kuning
TAPAH, 25 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, manifesto yang dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi satu lonjakan harapan kepada masyarakat di kawasan tersebut.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, peratusan undi awal yang agak tinggi juga memberi isyarat positif terhadap sokongan rakyat kepada BN dan berharap agar ia dapat diteruskan sehingga hari pengundian, esok.
“Alhamdulillah, kita dapat laporan daripada mengundi awal, semua telah memberi isyarat yang positif. Walaupun kita tidak tahu lagi keputusannya, tetapi moodnya adalah positif. Saya percaya sekiranya mood pengundian awal ini positif, sudah tentu ia akan dibawa sehingga hari pengundian iaitu pada 26 April.
“Jentera kita semua telah disiap siagakan… semua portfolio telah digerakkan. Saya percaya dengan penyusunan strategik oleh Menteri Besar (MB), kita akan dapat ‘result’ yang lebih baik daripada dahulu. Apa yang paling penting, kemenangan BN di PRK ini sudah tentu akan melonjarkan lagi semangat semua ahli UMNO yang sedang mengadakan mesyuarat di cawangan masing-masing.
“Saya percaya berkat daripada usaha MB dan juga jentera di Tapah, termasuklah Pemangku Ketua UMNO Bahagian, termasuklah ketua-ketua sayap dan naibnya… semuanya telah memberikan komitmen yang tinggi,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, semua jentera telah memberikan kerjasama yang jitu termasuklah dari PH untuk memenangkan calon BN pada PRK ini.
“Saya tidak nampak sedikit pun kepincangan di dalam jentera bahagian dan jentera-jentera lain. Kita berasa lebih bersemangat kerana dapat lihat PH juga memberikan satu komitmen yang cukup hebat di dalam Kerajaan Perpaduan ini.
“Jadi dalam tempoh lagi dua hari lagi, saya mengajak semua jentera teruskan buat kerja. Kemenangan itu Insya-Allah… tapi kalau kita dapat membawa pengundi-pengundi luar keluar lebih ramai, ianya akan menunjukkan bahawasanya demokrasi di negara kita ini masih segar dan terus diberi kepercayaan,” katanya lagi.
Ujarnya, pembangunan akan terus dibawa ke kawasan Ayer Kuning sekiranya rakyat memberikan mandat kepada calon BN yang sudah semestinya selari dengan Kerajaan Negeri dan pusat, di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Kita kena faham bahawasanya Negeri Perak ini adalah milik Kerajaan Perpaduan dan MB juga adalah daripada BN. Untuk penduduk ataupun pengundi di Ayer Kuning ini, sekiranya anda diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili kerajaan. Sudah pastinya pembangunan akan di bawa lebih banyak lagi ke Ayer Kuning ini.
“Walaupun kita tengok Ayer Kuning ini jauh berbeza daripada dahulu, pembangunan terus dimajukan. Tetapi apabila kita ada wakil rakyat yang duduk dalam kerajaan dengan latar belakang pendidikannya… beliau merupakan seorang doktor, ustaz… sudah tentu beliau akan membawa lebih banyak pembangunan di kawasan Ayer Kuning ini.
“Saya rasa manifesto ini akan memberikan satu lagi lonjakan harapan kepada semua yang berada di sini. Memang ada perkara-perkara yang kita perlu bawa seperti isu pendidikan dan sebagainya. Ayer Kuning ini bersebelahan daripada bandar Pendidikan. Limpahan rezeki daripada bandar pendidikan ini sudah tentunya tidak lain tidak bukan akan dilontarkan kepada Ayer Kuning ini,” katanya lagi.
Pada Ahad media melaporkan Dr Ustaz Yusri Bakir telah membentangkan manifestonya yang bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera.’
Beliau memaklumkan bahawa manifesto ini lahir daripada cetusan harapan masyarakat setempat hasil daripada mendengar sendiri cerita, luahan dan aspirasi yang dizahirkan oleh penduduk Ayer Kuning.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam ini.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman