PRK Ayer Kuning: Undi BN, Pilih Wakil Rakyat Selari Kerajaan – Noraini

TAPAH, 25 April – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan menterjemahkan keprihatinan serta kewibawaan mereka.

“Untuk maklumat semua di bawah Bajet 2025, Kerajaan Perpaduan di dalam bajet ada mengumumkan kenaikan pelbagai elaun, terutamanya bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ini menunjukkan menunjukkan bahawa Kerajaan Madani ini adalah sangat prihatin dan berwibawa.

“Kita harapkan… esok adalah hari yang sangat penting dan cukup bermakna terutamanya kepada pengundi-pengundi di kawasan ini. Jadi, buatlah pilihan yang terbaik.

“Jangan lupa, kita perlu orang yang akan menjadi wakil rakyat kita agar selari dengan Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Santunan Kasih Desa Madani, anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan para pemimpin serta jentera tempatan.

BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung esok.

Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau dicabar calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit