Pilih Dr Ustaz Yusri, Kuatkan Kedudukan BN Dalam Kerajaan Perak – Ruzaini
TAPAH, 25 April – Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Ruzaini Rais menyeru agar pengundi khususnya bangsa Melayu/Islam di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad di Perak.
Beliau menegaskan bahawa dakwaan Perikatan Nasional (PN) kononnya kerajaan Perak kini didominasi oleh Dap dan kedudukan Melayu/Islam terancam adalah tidak berasas serta tidak disokong oleh fakta atau data yang sahih.
“Serangan pihak PN banyak yang berbentuk persepsi semata-mata, tanpa asas kukuh. Walaupun jawapan balas telah diberikan, serangan berulang kali tetap dilakukan bagi mencipta gambaran negatif terhadap kerajaan. Ini menunjukkan mereka menggunakan strategi ulang tayang untuk menjadikan yang salah itu seolah-olah benar,” katanya.
Ruzaini juga mempersoalkan keikhlasan PN dalam memperjuangkan kekuatan Melayu/Islam, apabila mereka sendiri enggan memberi sokongan kepada kerajaan yang dipimpin oleh seorang Menteri Besar Melayu/Islam.
“Kalau betul mereka mahu lihat kerajaan Melayu/Islam ini kuat, mengapa tidak bantu dengan memberi kemenangan kepada calon BN?
“UMNO kini ada tujuh kerusi, mengapa tidak ditambah jadi lapan semula? Kalau pokok dikata tidak subur, bajalah, jangan racun,” tegasnya.
Menurut beliau, walau apa juga keputusan PRK Ayer Kuning, kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan tidak akan berubah kerana Kerajaan Perpaduan akan terus mentadbir seperti biasa.
Beliau turut mengingatkan agar pengundi tidak terpedaya dengan dalil-dalil rekaan pihak Pas yang menurutnya hanya bermotifkan keinginan untuk meraih kuasa, bukannya benar-benar mahu memperjuangkan kekuatan Melayu/Islam.
“Pas sendiri pernah bersekongkol dengan Dap untuk menjatuhkan kerajaan BN suatu ketika dahulu. Jangan biar sejarah itu berulang. Undilah BN yang terbukti membawa lebih banyak faedah,” katanya lagi.
Ruzaini mengakhiri kenyataannya dengan menyeru rakyat supaya mengundi dengan bijak dan tidak terpengaruh dengan permainan persepsi yang dibawa oleh pihak lawan.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dicabar calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online