Pedulikan Cerita UMDap… Malaysia Ini Negara Masyarakat Majmuk – Johari

TAPAH, 25 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru rakyat untuk tidak terpengaruh dengan naratif ‘UMDap’ yang sering diratib oleh Perikatan Nasional (PN) demi menjaga keharmonian antara kaum di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini telah hidup bersama-sama sejak Merdeka dan ia menjadi model terbaik dalam asas membentuk sebuah negara.

“Kemenangan mana-mana parti dalam sesuatu pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun Parlimen… penting untuk kita mempunyai jentera yang pandai berkempen. Bukan jentera pergi jumpa orang bergaduh. Mereka nak bergaduh, kita jangan layan. Itu prinsip yang kita kena pegang dalam Barisan Nasional (BN).

“Cerita mereka (PN) tentang UMDap ini… pedulikan sahaja sebab Malaysia ini adalah negara masyarakat majmuk. Kita hidup bersama-sama sejak Merdeka pada tahun 1957, dengan masyarakat Melayu, China, India, kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah DNA negara kita. DNA kita inilah yang membolehkan kita berkongsi, duduk bersama sebagai sebuah masyarakat yang kita panggil rakyat Malaysia.”

Ujarnya, dengan bangsa dan agama yang pelbagai inilah, sebuah negara telah dibina.

“Berlainan bangsa dan agama. Tetapi kita boleh membina negara ini menjadi sebuah negara yang sangat dihormati dunia. Di negara asing ini, sebut saja Malaysia semua orang hormat.

“Sebab mereka tahu, walaupun kita mempunyai komposisi penduduk bukan macam mereka… satu kaum sahaja yang sampai 99 peratus… kita boleh duduk berbilang kaum, jaga keharmonian dan bangunkan negara ini sehingga semua orang mendapat nikmat, hasil daripada kestabilan politik,” katanya.

Jelasnya, apabila Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, kesemua parti yang membentuk kerjasama tersebut berusaha sebaiknya untuk mengenepikan segala sengketa demi membangunkan negara tercinta.

“Jadi apa berlaku? Selepas 2018, ini budaya kita… seolah-olah kita dah tak boleh duduk, bercampur dengan orang lain. Kalau kita bercampur dengan orang lain, macam-macamlah mereka tuduh kita. UMDap sana, sini. Saya sebenarnya duduk di Kuala Lumpur, BN menang satu je. Lima Dap dan lima PKR menang (kerusi). Tetapi apabila kita tubuh Kerajaan Perpaduan ini saya dah tak rasa mereka ni berbeza dengan kita.

“Sebab mereka pun cerita tentang soal bagaimana nak menjaga keamanan dan membangunkan negara. Kita pun sama. Kita cerita macam mana kita nak menguatkan negara ini dan parti kita, tanpa menjatuhkan parti orang lain. Kita menjual kita punya khidmat, bukan masalah orang lain.

“Ini yang saya nak tekankan kepada jentera kita. Percayalah cakap saya. Kita bawa budaya ini, maka mana-mana parti yang berbeza pendangan dengan kita. Akhirnya, kalau dia tidak boleh terima, generasi-generasi akan datang mungkin boleh menerima kerana kita telah mengubah cara melihat politik negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa UMNO/BN sentiasa mengutamakan politik khidmat kepada rakyat dan mengelakkan permusuhan politik.

“Menang atau kalah pilihan raya ini biasa. Kalau sesiapa takut kalah, jangan masuk pilihan raya. Jadi dah tentu tak kalah. Kalau ingat nak menang saja, jangan masuk politik. Sebab dalam politik, ada menang, ada kalah. Saya dulu… Sebelum saya jadi wakil rakyat, kawasan tersebut Pas punya. Jadi apabila saya bertanding, selepas tu saya menang. Selesai.

“Saya tidak ada masalah dengan masyarakat Pas dalam kawasan. Kemudian, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, saya bertanding semula tetapi kalah. Apabila kalah, kita hormatlah orang yang menang. Kita hormat. Tetapi, apabila beliau tak buat kerja, kita datang balik bertanding. Masyarakat tengok kita tak ‘bantai’ orang. Kita tak bergaduh dengan orang. Kita hormat kemenangan dia.

“Maka saya pun diberi peluang untuk menang semula dalam keadaan tsunami politik berlaku, satu negara menolak BN. Tetapi, saya boleh menang balik. Ini semua sebab budaya politik kita berkhidmat kepada masyarakat, bukan nak bermusuh dengan mana-mana pemimpin atau parti. Jadi, kalau kita amalkan perkara ini, percayalah… kita akan dapat capai kemenangan yang sangat cemerlang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit