Pantun Untuk Pengundi DUN Ayer Kuning – Ahmad Maslan

TAPAH, 25 April – Hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut menyampaikan pantun khas sempena hari pengundian.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN); dan calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ahmad Maslan, yang dikenali sebagai ‘Raja Pantun’ secara santai menyuntik semangat kepada para pengundi melalui pantun berikut:

Pergi ke kedai waktu siang,
Jalan beralun banyak batu;
Ramai-ramai kita berjuang,
Menangkan calon nombor satu.

Jadi hikayat si Gunung Daik,
Tempat berkelah putera puteri;
Pilih wakil rakyat yang terbaik,
Dia itulah Doktor Yusri.

Ikan parang sayur bening,
Juadah makanan dihidangkan;
Kita berjuang di Ayer Kuning,
Agar pembangunan dimantapkan.

Apa diharap ikan belukang,
Masak berlada barulah hendak;
Apa diharap kepada pembangkang,
Entahkan ada banyaknya tidak.

Buah pala buah pulasan,
Buah ceri si buah kurma;
Jika anda undi Barisan,
Doktor Yusri selalu bersama. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit