Kerajaan Perpaduan: Dakwaan Islam Terancam Tidak Benar Sama Sekali – Ahmad Zahid
TAPAH, 25 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa dakwaan Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar sama sekali.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa menitikberatkan hal pembangunan dalam masa yang sama tidak meminggirkan program-program keagamaan.
“Program pada hari ini memperlihatkan keseimbangan duniawi dan ukhrawi. Untuk itu, jika dikatakan bahawa Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini hanya menjaga hal pembangunan, apatah lagi disebut meminggirkan program-program keagamaan, saya ingin nyatakan pengimbangan dunia-akhirat sering diterjemah.
“Ertinya, kita memegang prinsip bahawa di samping menuju kemajuan, soal akhirat tidak pernah diketepikan. KEMAS umpamanya, memulakan pendidikan agama sejak tadika. Terdapat 10,000 kelas-kelas tabika kita jadikan sebagai pra-tahfiz.
“Program ini telah dimulakan pada tahun lalu, diteruskan dan ditambah pada tahun ini. Terdapat lebih 125,000 anak-anak diberi tumpuan untuk menghafal 30 juzuk al-Quran. Ini akan menjadi program utama tanpa ketepikan mata pelajaran lain selain soal agama terutamanya ibadah solat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Santunan Kasih Desa Madani, anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ujarnya, KKDW juga mengambil inisiatif dengan mengulul albabkan seluruh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan ia membuahkan hasil apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada Khamis.
“Malah 57 buah MRSM di seluruh negara telah diulul albabkan. Tiada satu pun yang ditinggalkan. Dahulu ada empat sahaja MRSM Ulul Albab. Apabila dalam pentadbiran baharu, MRSM telah laksanakan program ini.
“Akhirnya kita dapati selepas program ini dimulakan tahun lalu, MRSM menjadi sekolah asrama penuh terbaik di negara ini dalam keputusan SPM. Mungkin ini berkat usaha kerajaan menerapkan program Ulul Albab di kesemua MRSM.
“Begitu juga kita lihat sekarang ini pelajar maahad tahfiz di seluruh negara. Selepas tahfiz, mereka bukan hanya ambil bidang syariah, malah ramai di antara mereka sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET. Terdapat lebih 580 orang huffaz sedang ambil kursus kejuruteraan.
“Ertinya ekosistem pendidikan telah berubah. Kita Utamakan akademik, profesional dan tidak pernah lupakan huffaz. Mana mungkin kita dikatakan mengenepikan soal agama,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) bagi menyambung legasi perkhidmatan terbaik dari kerajaan kepada rakyat.
“Majlis hari ini tentunya disertai oleh para pengundi… jangan lupa esok adalah hari penting. Kalau dahulu allahyarham Ishsam telah jalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik. Insya-Allah ianya akan disambung oleh Dr Ustaz Yusri Bakir.
“Disebahkan tinggal hanya beberapa jam sahaja lagi nak menentukan kedudukan BN di Ayer Kuning, saya minta seluruh jentera bekerja keras… lupakan perbezaan politik, bangsa dan agama. Dalam mewujudkan keharmonian, kita perlu menghormati agama lain supaya agama kita dihormati. Itulah pegangan UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan yang sedang memimpin negara.
“Mudah-mudahan kita akan berjaya. Isu UMDap tidak akan timbul langsung. Jangan ikut ‘cucuk’ orang. Kita tak makan ‘cucuk’ dan ‘kipas’. Inilah masanya untuk kita perlihat seluruh jentera berkampung di Ayer Kuning untuk memenangkan calon kita,” katanya lagi. – UMNO Online