Keputusan PRK Beri Isyarat Penting… Bina Keyakinan Terhadap Kerajaan Sedia Ada – Ahmad Shabery

TAPAH, 25 April – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan memberi isyarat penting kepada orang luar yang memerhatikan Malaysia dalam membina keyakinan terhadap kerajaan sedia ada.

Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jumlah pengundi yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 26 April ini penting untuk menentukan jumlah majoriti kemenangan BN pada PRK ini.

“Pertama, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersungguh-sungguh menunjukkan sokongan mereka kepada calon BN. Saya mendapat maklumat bahawa semua pihak telah menjalankan tugas mereka dengan baik dan tersusun. Keyakinan kita bertambah kerana pada kali ini pertandingan hanya satu sahaja pencabar utama iaitu daripada Pas.

“Sedangkan dahulu kita bertanding dengan tiga parti utama. Ada lagi parti yang kurang dianggap penting tetapi kehadirannya boleh memecahkan undi. Apabila berlaku pertandingan lebih kepada dua parti yang utama ini, kombinasi antara BN dan Pakatan Harapan (PH), memberikan satu kekuatan asas yang paling besar kepada BN.

“Tetapi apa yang lebih penting, kita nak tahu jumlah yang akan keluar mengundi. Ia akan menentukan berapakah majoriti yang akan dimenangi,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, para jentera perlu menguatkan kempen untuk menyeru para pengundi keluar pada hari mengundi selain daripada mempromosikan calon.

“Mungkin ramai yang berniat untuk tidak pulang mengundi kerana menganggap sudah ada keyakinan yang sangat kuat bahawa BN akan menang kerana Pakatan Harapan (PH) ada bersama kita. Jadi, sebab itu saya merayu sekarang ini bukan sahaja jentera perlu berkempen untuk meyakinkan kenapa calon BN adalah pilihan yang terbaik… kerajaan sekarang ialah kerajaan yang terbaik, mesti kita sokongan. Tetapi, kempen untuk orang keluar dan balik mengundi ialah kempen asas yang cukup penting.

“Saya ingin menyeru rakan-rakan di luar daripada DUN Ayer Kuning, Tapah dan Perak yang berada di merata tempat… di merata pelusuk negara ini tolonglah sokongan BN. Pulanglah dan berikan undi anda kepada calon daripada BN,” katanya lagi.

Tegasnya, kemenangan BN di DUN Ayer Kuning ini amat penting untuk memberi isyarat penting kepada negara terutamanya yang sedang memerhatikan Malaysia dari segi persekitaran politik dan ekonomi.

“Keputusan di Ayer Kuning ini akan memberi syarat yang penting bukan sahaja kepada negara ini tetapi kepada orang yang memerhatikan Malaysia. Kita mesti melihat persekitaran politik dan juga ekonomi dunia. Seperti di Amerika Syarikat misalnya, berlaku keadaan yang tidak menentu dari segi sistem perdagangan dunia yang akan memberikan kesan dan tamparan hebat kepada hal berkaitan ekonomi dunia.

“Sebab itu, kita katakan bahawa keyakinan orang terhadap kerajaan kita penting. Kita mengharapkan pelabur, orang membeli barang-barang kita yang semakin lama ditentukan oleh bukan sahaja barang itu baik atau tidak. Langkah yang dibuat oleh Amerika Syarikat sekarang ini bersifat cuba memerangi negara-negara lain dalam aspek perdagangan.

“Ia menyebabkan kita mesti mencari sandaran-sandaran baharu, selain daripada Amerika yang merasakan bahawa Malaysia ini adalah sebuah negara boleh dipercayai, kepimpinannya sentiasa tetap, tidak ada perubahan, stabil dan pelabur tidak lari daripada kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat di DUN Ayer Kuning untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 26 April ini dan memberikan sokongan kepada BN bagi memudahkan pembangunan dibawa ke kawasan tersebut.

“Sekiranya ada sahaja isyarat… misalnya kalau selama ini kita menganggap bahawa kerajaan ini sudah stabil, pemimpin-pemimpin negara luar sanggup datang kembali. Mereka datang ke Malaysia, tak pergi ke negara jiran kita. Satu demi satu menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang perlu dihargai dan dihormati. Tiba-tiba rakyat Ayer Kuning pula sendiri kata, kami nak tukar kepada PN pula. Mereka hanya memikirkan dari aspek tempatan. Tetapi, kita mesti memikirkan kepentingan negara keseluruhannya. Maka berilah isyarat bahawa kerajaan Malaysia sekarang inilah kerajaan yang harus kita berkukuhkan.

“Pesanan saya kepada pengundi, teguhkan hati, kuatkan semangat dan jangan terpedaya dengan bisikan-bisikan halus yang boleh meragukan diri mereka. Kekal… anda dulu dan selamanya bersama BN, waktu senang dan susah.

“Dalam negara kita, ada satu kawasan DUN ataupun Parlimen yang begitu cekal hati mereka bersama dengan BN. Saya memberi tabik saya kepada masyarakat dalam parlimen Tapah, masyarakat di DUN Ayer Kuning. Jadi, tetapkan pendirian, ketepikan bisikan-bisikan halus. Keluar mengundi beramai-ramai pada 26 April ini,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.

Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit