Isu Ladang Babi: Pas Ikhlas Atau Hanya Main Sentimen Pengundi? – Iqbal Jamal
TAPAH, 25 April – Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Perak (StratComm Perak), Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin mempersoalkan adakah Pas benar-benar ikhlas membangkitkan isu kandang babi di Perak atau sekadar bermain sentimen untuk mempengaruhi pengundi Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ini kerana katanya, isu tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri ketika sidang DUN Perak dengan tuduhan bahawa terdapat kandang babi dalam jarak 200 meter daripada masjid.
“Isunya apabila ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri naikkan isu ladang babi di sidang DUN Perak. Beliau mengatakan bahawa pertamanya, ada kandang babi ini haram. Keduanya, ada 30 ladang babi dalam Parlimen Tapah. Beliau juga mendakwa kandang babi itu berdekatan, dalam jarak 200 meter dengan masjid dan berada di tempat majoriti penduduk Melayu. Itu tuduhan beliau.
“Sebenarnya, kandang babi di Perak ini sebelum 2018, ada 115, tapi pada kali ini, dah ditutup semenjak 2018 (berdasarkan permohonan) yang dilaksanakan pada tahun 2021 sehinggalah sekarang… dah tutup 30 kandang babi. Selepas dah tutup itu jadi 85 kandang babi sahaja. Bilakah perkara ini berlaku? Ianya ketika Datuk Seri Saarani Mohamad menjadi Menteri Besar Perak. Ini merupakan inisiatif beliau.
“Kedua, kandang babi ini semuanya berlesen. Jadi, untuk mengurangkan impak daripada kandang babi ini seperti kumbahan, bau dan sebagainya, kita arahkan daripada ‘traditional pig farming’ supaya ‘convert’ kepada ‘modern pig farming’. ‘Modern pig farming’ ini maksudnya ia tertutup dan berhawa dingin,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat berkata, Pas pernah menunjangi Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2020 namun mereka tidak pernah mengambil sebarang inisiatif atau menyuarakan isu tersebut sepanjang memerintah.
“Kalau dirujuk kepada jawapan Sivanesan Achalingam, Exco Kesihatan dan juga Pengerusi kandang khinzir di Perak ini, tuduhan Mohd Hafez yang mengatakan bahawa ladang tersebut berjarak 200 meter dari masjid itu adalah salah kerana sebenarnya, ia berjarak lebih kurang dalam 2.5 kilometer.
“Kita nak tanya Hafez Sabri, pada 2020 Pas menjadi kerajaan di Negeri Perak dan ada di antara mereka yang menjadi exco. Kenapa pada ketika itu mereka tidak menyuarakan isu kandang babi ini? Kenapa hari ini, dalam keadaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, baru nak disuarakan?”
Ujarnya, kesemua kandang babi yang beroperasi tersebut telah menerima penganugerahan lesen daripada Jabatan Veterinar Negeri Perak berdekad lamanya, bukan pada zaman terkini.
“Dalam DUN Ayer Kuning ada sembilan. Daripada sembilan itu, lapan telah siap untuk ‘modern pig farming’ manakala satu lagi dalam proses. ‘Modern pig farming’ ini kita kena tahu bahawa ia sangat menitikberatkan kebersihan sekitar agar tiada bau, pencemaran dan sebagainya.
“Isu mengenai saluran, pertamanya semua ‘pig farming’ ini berlesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar dan juga majlis. Mereka semua ini ada kebenaran untuk transformasi daripada tradisional kepada moden dan dah ada kebenaran merancang (KM). kalau kata ada najis babi yang disalurkan ke sungai, itu bukan perkara yang disengajakan. Mungkin paip tersebut pecah dan sebagainya.
“Tidak adil bagi pihak Jabatan Veterinar dan pihak berkuasa kalau kita cakap mereka ini tak buat kerja. Tiada arahan supaya buat benda ni di tempat majoriti orang Melayu ke tidak. Anugerah untuk lesen ini telah dianugerahkan berdekad lamanya. Bukannya terjadi ketika Datuk Seri Saarani Mohamad menjadi Menteri Besar.”
Persoalannya, tegas beliau, kenapa baru sekarang mereka beria-ia memainkan isu ini?
“Adakah mereka ikhlas ataupun hanya untuk menjadi ‘political mileage’ bagi Pas bermain sentimen pengundi Melayu di DUN Ayer Kuning?” soalnya.
Tinjauan UMNO Online di laman web Jabatan Veterinar Perak mendapati bahawa maklumat mengenai kandang babi berlesen di Daerah Muallim dan Batang Padang telah dikemaskini daripada 30 ke 20 buah.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mendakwa terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah berkenaan dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi jika dicampurkan dengan ladang haram.
Namun, Kerajaan Negeri Perak menyangkal dakwaan terdapat lebih 30 ladang ternakan babi di daerah Batang Padang dan Muallim kerana terdapat hanya 20 ladang babi yang diluluskan di kedua-dua daerah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan juga menegaskan bahawa Kerajaan Perak tidak meluluskan sebarang pembukaan ladang babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan majoriti penduduk Islam dan sebahagian besar ladang-ladang yang wujud pada hari ini, adalah warisan operasi sejak beberapa dekad lepas.– UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman