Cipta Fatwa… Pas Juga Pernah Bersama Dap Guna Konsep Tahaluf Siyasi – Ahmad Shabery

TAPAH, 25 April – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan rakyat bahawa Pas juga pernah membentuk kerjasama bersama Dap menggunakan konsep ‘tahaluf siyasi’.

Ujarnya, Perikatan Nasional (PN) sudah ketandusan idea untuk menyaingi calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sehingga menimbulkan perkara-perkara kecil seperti isu ladang babi bagi tujuan menghasut rakyat.

“Saya rasa di setiap pilihan raya, terutama PRK… apabila mereka sudah tidak ada isu besar yang berkaitan dengan soal asas kepada kerajaan, isu beginilah yang mereka timbulkan. Pas pun pernah memerintah Perak, ladang babi tetap ada. Pas pun dah menjadi Menteri Besar di Perak dengan dukungan Dap.

“Pada waktu tersebut, mereka menganggap Dap segala-galanya, kekasih awal dan akhir. Apabila mereka berpisah, mereka menyalahkan kita pula dalam soal ini dan mereka datang dengan fatwa-fatwa baharu. Mereka cuba membuat hujah-hujah baharu yang tidak berasas dan memberi keuntungan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, beliau tidak melihat sebarang inisiatif keislaman yang benar-benar konkrit dilakukan terutamanya apabila mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan termasuklah isu hudud.

“Mereka pernah dalam masa yang singkat berada dalam kerajaan. Pada waktu tersebut, kita belum melihat inisiatif yang bersifat keislaman dan benar-benar konkrit dilakukan. Jangan beri alasan tempoh masa yang singkat. Tetapi, kalau kita katakan masa dalam tempoh masa yang singkat… tidak ada yang lambat pun.

“Apa yang mereka bentangkan di Parlimen tentang hudud (sebelum menjadi kerajaan), peraturan Islam yang baharu dan institusi yang ingin dibangunkan. Ada perkara yang memerlukan perancangan dalam bentuk yang besar. Tetapi ada peringkat yang memerlukan dasar-dasar yang hanya bersifat undang-undang. Itu pun tak mereka buat. Jadi, Pas bukanlah satu parti yang boleh dipercayai,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menempelak sikap Pas yang selalu mewujudkan fatwa sendiri untuk membolehkan dan ‘menghalalkan’ perkara mereka ingini seperti kerjasama bersama Dap pada satu ketika dulu.

“Mereka pernah berdakap dengan Dap. Itu cinta hati mereka yang pertama. Saya ingat pada tahun 1999, mereka menang di Terengganu. Mereka memeluk pemimpin Dap yang banyak menyuarakan tentang undang-undang Islam, undang-undang Syariah, negara Islam dan sebagainya. Maka saya kira gambar-gambar itu patut disiarkan kembali.

“Mereka yang pertama membuat fatwa bahawa bersama dengan Dap itu adalah satu perkara yang tidak salah dengan perkataan ‘tahluf siyasi’. Pada waktu tersebut, banyak perkara yang dibolehkan. Itu fatwa mereka dan sepatutnya ia dimainkan semula untuk mengingatkan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit