Tuduhan Terhadap Polis Kelantan Tidak Wajar, Berunsur Politik – Azmawi Fikri

GUA MUSANG, 24 April – Ahli Dewan Undangan Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani tampil menjelaskan bahawa tuduhan terhadap Ketua Polis Negeri Kelantan, CP Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Timbalan Ketua Polis Negara DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung isu sosial di Kelantan adalah tidak wajar dan tidak berasas.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi saksi ketika mendengar perbahasan Titah Diraja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, yang mana ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud didakwa telah mengaitkan pendedahan isu sosial di negeri itu dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

“Saya menjadi saksi mendengar bait ucapan perbahasan Diraja DUN Kelantan semalam, jelas bahawa Wan Rohimi Wan Daud telah membuat tuduhan kepada Ketua Polis Negeri dan Timbalan Ketua Polis Negara dengan menyifatkan pendedahan mengenai masalah sosial di Negeri Kelantan adalah berkaitan PRK Ayer Kuning yang bakal diadakan Sabtu ini.

“Jelas dan terang untuk rakyat faham bahawa tuduhan sebegitu keras terhadap penjawat awam ini adalah amat tidak wajar, maka tidak perlu untuk menganggap kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub melagakan beliau dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Azmawi, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, menegaskan bahawa sebagai seorang peguam, Wan Rohimi seharusnya lebih memahami prinsip asas demokrasi dan amalan doktrin pengasingan kuasa.


“Selaku seorang Adun dan juga Peguam seharusnya faham mengenai apa yang beliau ucapkan, amat mustahil bagi beliau untuk tidak tahu apa itu maksud ‘Doktrin Separation Of Power’ (Doktrin Pengasingan Kuasa) yang diamalkan di Malaysia dan amat tidak wajar untuk mengaitkan tugas Ketua Polis Negeri dengan sebarang motif politik.

“Beliau sendiri ibarat seorang anak kecil ‘menghantukkan kepalanya sendiri ke dinding’ tanpa ada orang yang menyuruhnya,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Jazlan mengecam tindakan Wan Rohimi secara melulu dan tidak cermat apabila menuduh Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara sengaja mengeluarkan kenyataan negatif tentang negeri ini untuk tujuan pilihan raya di Ayer Kuning, Tapah, Perak yang bakal berlangsung pada 26 April ini.

Beliau harus menunjukkan kebertanggungjawaban di atas kenyataan jahat yang memberi persepsi buruk kepada penjawat awam dan kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit