PRK: Manifesto Pembangunan Mudah Dilaksana Jika Pilih Calon BN – Ahmad Maslan

TAPAH, 24 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa manifesto calon Barisan Nasional (BN), Ustaz Yusri Bakir untuk membawa agenda pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mudah dilaksanakan sekiranya beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat War Room berkata, agenda tersebut akan lebih mudah dikotakan kerana keselarian pentadbiran antara Kerajaan Negeri Perak dan pusat yang ditunjangi oleh Kerajaan Perpaduan.

“Saya ada keyakinan bahawa jentera yang rapi adalah antara punca kepada kemenangan yang bakal kita peroleh. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera dari pihak Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Setelah berbelas kali turun berkempen di Ayer Kuning ini, saya dapat melihat kegigihan mereka dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Tidak ada sebab kita boleh ditewaskan dengan izin Allah jua. Mudah-mudahan kita berjaya dengan cemerlang pada 26 April ini.

“Kita telah lancarkan manifesto. Salah satu daripadanya ialah untuk meningkatkan pembangunan yang ada. Jika rakyat memilih pembangkang, tidak ada faedah yang bakal diperolehi masyarakat walau satu sen,” katanya kepada UMNO Online.

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memaklumkan bahawa dengan kekuatan Kerajaan Negeri dan pusat ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan membolehkan segala urusan diselesaikan dengan mudah termasuklah berkaitan infrastruktur.

“Mereka (Perikatan Nasional) tidak boleh melakukan apa-apa. Saya telah melawat satu kawasan tanah runtuh yang memerlukan jambatan segera di Felda Sungai Klah, Tanjung Malim. Oleh kerana kita adalah kerajaan negeri dan pusat… Jabatan Kerja Raya (JKR) bekerjasama dan hari Ahad ini jambatan tersebut dah boleh siap.

“Setelah kita perbaiki semua struktur, ia hanya memakan masa seminggu. Ini kerana kekuatan kerajaan pusat dan negeri yang bergabung. Kekuatan inilah yang boleh membantu untuk membangunkan kawasan Ayer Kuning ini.

“Insya-Allah kita akan menang… cuma nak tengok kepada majoriti sahaja. Kalau atas kertas, kita boleh dapat lebih kurang 9,000 majoriti. Tetapi berlaku di Mahkota, saya sebut 20,000 majoriti, rupanya-rupanya kita dapat angka tersebut. Kita berusahalah bersungguh-sungguh. Insya-Allah kita akan kekal di Ayer Kuning ini,” katanya lagi.

BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.

Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.

Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit