Mohd Razlan Nasihat Pas Jangan Perguna Agama Untuk Semua Isu

TAPAH, 24 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menasihatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk tidak mempergunakan agama dalam cubaan menjuarai semua isu.

Ini kerana katanya, saranan Abdul Hadi agar haji ditangguhkan demi kemenangan Islam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ini tidak memberi kesan memandangkan penerbangan haji yang pertama ialah pada 29 April, tiga hari selepas pengundian.

“Saya rasa elok penasihat yang menasihati Abdul Hadi Awang ini memberi fakta yang betul. Penerbangan pertama haji adalah pada 29 April ini. Tiga hari selepas pengundian. Jadi, saya tak nampak apa yang maksudkan… adakah perlu mendahulukan haji ataupun pengundian. Saya tak nampak isu itu di sini.

“Benar memang betul, ada sejarah yang mengatakan bahawa sebenarnya kita perlu mengutamakan permasalahan ummah itu kalau ada pertembungan di antara pergi haji atau umrah. Tetapi yang pastinya, adakah pertembungan itu membuatkan mudarat yang lebih besar atau kecil? Jadi perkara-perkara itu perlu dilihatlah,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kedudukan Islam tidak pernah terancam terutamanya di Ayer Kuning kerana calon yang dipertandingkan adalah seseorang yang beragama Islam dan Kerajaan Perpaduan sentiasa berusaha untuk memartabatkan agama tersebut.

“Saya tak nampak Islam terancam kerana yang bertanding pun adalah seorang ustaz… yang bertanding pun adalah seorang doktor dan beragama Islam. Manifesto yang dibawanya pun berpihak kepada orang Islam. Saya tak nampak ada pertembungan sehinggakan ada satu-satu perkara yang menzalimi sekiranya seseorang itu menang di Ayer Kuning.

“Saya minta agar orang Islam perlu betul-betul terbuka, menimbangkan mana yang tidak benar… mana hujah yang tidak boleh digunakan untuk mana-mana isu. Katakanlah mereka menuduh satu-satu parti itu menang, akan menzalimi orang Islam… atau membuatkan orang Islam itu tidak solat, tidak menjalankan hukum-hukum yang biasa dilakukan fardhu ainnya… maka itu menzalimi orang Islam. Tetapi saya tak nampak perkara-perkara itu berlaku di negara kita,” katanya lagi.

Menurutnya, martabat orang Islam lebih tinggi di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan termasuklah meningkatkan bajet kepada pendidikan anak-anak Melayu.

“Malah pada hari ini, orang Islam lebih tinggi martabatnya di bawah kepimpinan BN. Saya rasa hujah itu tidak kena pada tempatnya. Hari ini pun Malaysia hanya diberi kuota 30,000 orang, 0.1 peratus dari jumlah rakyat Malaysia. Jadi, saya harap agar orang Pas ini janganlah mempergunakan agama terhadap semua isu.

“Sebenarnya, Islam di negara kita ini cukup terjaga dan dipelihara dengan baik. Mana-mana parti pun menang, lebih-lebih lagi BN, sudah tentu akan menjadikan Islam itu tunjang kepada negara kita. Berbeza dengan Pas yang dahulunya bersekedudukan dengan mana-mana pihak, tetapi mereka tidak dapat mempertahankan agama dan syiar Islam. Nak dibandingkan dengan UMNO. UMNO telah meningkatkan pelbagai bajet untuk orang Islam.

“Kita boleh lihat bajet untuk pendidikan anak-anak Melayu. Kita perhebatkan Tabika KEMAS kita, letakkan program huffaz tahfiz. Ada banyak perkara yang kita buat… jadi kita tak nampak hujah ini kena pada tempatnya,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Abdul Hadi memberi signal supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji.

Presiden Pas itu menegaskan ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah daripada peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Ini kerana, katanya, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau bagaimanapun mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit