Isu Produk Mengandungi DNA Babi: Awang Aslee Gesa Kerajaan Perinci Segera Produk Terlibat
KOTA KINABALU, 24 April – Kerajaan digesa untuk segera memperincikan senarai produk makanan yang didakwa Indonesia didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi, sekiranya masih berada dalam pasaran tempatan, khususnya di Sabah.
Gesaan itu disuarakan oleh Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat yang menyatakan kebimbangan terhadap isu yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna, khususnya umat Islam.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, sehingga malam tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali masih mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mendapatkan pengesahan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Langkah ini sudah tentu menimbulkan kebimbangan orang ramai, khususnya pengguna beragama Islam yang mungkin tertanya-tanya sama ada produk yang mengandungi DNA babi ini masih berada di pasaran.
“Sehubungan itu, KPDN perlu mengambil langkah drastik dan segera membuat pengumuman rasmi mengenai perincian produk makanan yang terlibat agar pengguna tidak keliru dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Awang Aslee, pengumuman rasmi telahpun dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Indonesia, iaitu Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), mengenai penarikan balik produk yang terbabit daripada pasaran mereka.
Justeru katanya, Malaysia tidak wajar menunggu lebih lama, sebaliknya harus mengambil tindakan tegas berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa halal negara jiran itu.
“Saya menyeru supaya KPDN bekerjasama erat dengan JAKIM serta agensi agama dan penguat kuasa di peringkat negeri untuk memastikan produk terbabit segera ditarik balik daripada pasaran, khususnya di Sabah yang sangat terdedah kepada kemasukan produk makanan dari Indonesia.
“Sabah mempunyai beberapa pintu masuk antarabangsa seperti di daerah Tawau yang menjadi laluan utama produk dari Indonesia, dan ini menjadikan negeri ini berisiko tinggi untuk menerima barangan yang tidak mematuhi piawaian halal,” katanya.
Semalam, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan JAKIM berhubung perkara itu dan akan memastikan produk yang terlibat dikeluarkan daripada pasaran sekiranya ia masih berada di dalam negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama penuh akan diberikan kepada JAKIM bagi memastikan segala tindakan berkaitan penguatkuasaan dan pematuhan halal dapat dijalankan secara menyeluruh dan segera. – UMNO Online