Insiden Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit Berulang… Mohd Razlan Gesa Cari Hingga Lubang Cacing
TAPAH, 24 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii memandang serius berkaitan kesalahan paparan imej Jalur Gemilang yang dikesan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diedarkan hari ini.

Foto: MG Perak
Dalam hal ini, beliau menggesa kerajaan untuk ‘cari sehingga ke lubang cacing’ siapakah mereka yang bertanggungjawab berkaitan hal ini.
Foto: MG Perak
“Tersalah cetak berkenaan dengan Jalur Gemilang adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan. Perkara ini perlu diambil serius.
“Kalau kita kata alasan kerana AI (artificial intelligence), ianya perlulah di ‘back proof’ ataupun di sub-editing, ‘so’ ini adalah perkara-perkara asas yang perlu dibuat dalam tapisan mana-mana pihak,” katanya kepada media berkaitan hal terbabit.
Ujarnya, alasan berkaitan penggunaan AI tidak boleh diterima.
“Jadi saya nak minta kerajaan untuk cari sehingga ke lubang cacing siapakah mereka yang bertanggungjawab mengendalikan buku dan laporan ini.
“Tidak ada alasan berdasarkan AI kerana AI ini adalah satu sistem apa yang kita sumbat ke dalamnya, dia akan analisa dan dia akan keluarkan apa yang kita sumbat.
“Kalau kita sumbat bendera itu tidak ada bulan sabit, maka tidak ada bulan sabitlah. Jadi saya percaya ini bukanlah satu perkara yang boleh dipanggil, membiarkan sebagai satu perkara enteng… jangan ambil mudah,” katanya.
Jelas beliau, hal berkaitan adalah melibatkan masa depan dan kedaulatan negara.

Foto: MG Perak
“Jadi saya minta hasil siasatan ini perlulah diberikan pemakluman secara meluas kepada semua rakyat Malaysia siapakah yang perlu bertanggungjawab, siapakah yang perlu diambilkan tindakan, siapakah perlu diberhentikan kerja dan sebagainya. Ini adalah perkara serius.
“Kita nak tahu tindakan apa… bentuk tindakan itu juga perlu digembar-gemburkan kepada rakyat. Kita perlu menunjukkan betapa seriusnya kesilapan yang telah dilakukan dan saya percaya ini adalah perkara yang sangat diambil mudah oleh pihak yang membuat risalah ini.
“Takkanlah kita berdasarkan AI saja kita nak maafkan… tak boleh…,” katanya.
Terang Mohd Razlan lagi, ini bukan berkaitan satu gambar Jalur Gemilang saja kerana gambar lain yang boleh menjadi pertikaian.
“Ada satu lagi sebenarnya gambar di dalam laporan yang menjadi pertikaian apabila di belakangnya ada gambar-gambar yang melibatkan pelbagai agama pula di situ… so ini semua akan menjadi persoalan,” katanya lagi.
Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan akan bertegas dan tiada layanan dua darjat dalam siasatan insiden kesilapan paparan imej Jalur Gemilang yang berlaku.
Anwar berkata, siasatan dilakukan tanpa mengira pihak terlibat sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan.
Sebelum itu, KPM menerusi kenyataan membuat permohonan maaf sebaik sahaja kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang disedari. Buku laporan itu diedarkan kepada pemberita selepas sidang akhbar keputusan SPM 2024 yang dikendalikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan pagi tadi.
Terdahulu, terdapat dua insiden dilaporkan berkaitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap melibatkan akhbar Sin Chew Daily dan sebuah syarikat luar negara yang menyertai pameran di Kuala Lumpur. – UMNO Online