Ahmad Zahid Ucap Tahniah, SPM 2024 Catat Pencapaian Terbaik Sejak 2013
PUTRAJAYA, 24 April – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) terbaik sejak tahun 2013, sekali gus menunjukkan lonjakan prestasi luar biasa, terutamanya oleh pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada semua calon SPM 2024 atas pencapaian cemerlang tersebut, yang disifatkan sebagai hasil usaha gigih pelajar, sokongan ibu bapa serta dedikasi para pendidik.
“Seramai 7,650 calon SPM dari 55 MRSM telah menunjukkan peningkatan ketara dalam pencapaian akademik dengan Gred Purata (GP) meningkat kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, 10 MRSM berjaya mencatatkan GP di bawah 1.50 berbanding hanya satu pada tahun lalu, manakala 31 MRSM mencatatkan GP di bawah 2.00 – satu peningkatan luar biasa berbanding hanya sembilan pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah keseluruhan pelajar MRSM, seramai 1,670 pelajar atau 21.83% berjaya memperoleh semua A (A+, A dan A-), meningkat daripada 1,131 pelajar pada tahun 2023. Selain itu, bilangan pelajar yang mendapat semua A+ turut meningkat kepada 69 orang, berbanding 50 orang tahun lalu.
“Sebanyak 54 daripada 55 MRSM mencatatkan peningkatan GP, dengan MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau menunjukkan peningkatan tertinggi masing-masing sebanyak 1.408 dan 1.171,” katanya lagi.
Zahid turut menegaskan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu laluan utama pendidikan negara, sejajar dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara.
“TVET bukan sekadar pilihan alternatif bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik. Kini, ia menjadi antara pemacu utama pembangunan negara dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 94.5 peratus, manakala institusi TVET di bawah MARA merekodkan kadar 98.7 peratus,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan pelajar menggunakan saluran rasmi UP_TVET untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut, selari dengan minat dan potensi masing-masing.
Akhir sekali, beliau menyeru agar semua calon SPM mengambil peluang yang terbuka untuk memilih laluan yang terbaik demi masa depan mereka dan kemajuan negara.
“Saya percaya andalah generasi pelakar perubahan yang akan membina Malaysia yang lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pentas dunia,” tambah beliau. – UMNO Online