Ahmad Zahid Raikan Aidilfitri Bersama Keluarga Besar MARA

KUALA LUMPUR, 24 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkesempatan menyambut Aidilfitri bersama warga Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Majlis Serumpun Lebaran MARA 2025 yang berlangsung petang tadi.

Majlis yang meriah itu bukan sahaja menyemarakkan semangat Syawal, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan silaturahim dan semangat perjuangan demi masa depan bumiputera.

“Majlis ini menjadi ruang bermakna bagi menghargai jasa dan dedikasi luar biasa warga MARA yang saban hari berjuang memperkasa pendidikan, memperkukuh keusahawanan dan melonjak pembangunan sosioekonomi bumiputera dari desa ke global,” kata beliau dalam ucapannya.

Ahmad Zahid turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat serta sinergi antara MARA dan semua pemegang taruh akan terus menjadi pemacu kepada kejayaan agensi tersebut dalam membina bangsa yang berdaya saing, berilmu dan berdikari.

“Insya-Allah, keluarga besar MARA akan terus menjadi obor yang menyinari agenda pembangunan bumiputera dan desa yang inklusif, progresif dan MADANI,” katanya.

Majlis tersebut dihadiri oleh kepimpinan MARA, kakitangan serta wakil komuniti yang berkait rapat dengan program-program agensi itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79