PRK: Dr Ustaz Yusri Lipat Ganda Usaha Kempen Raih Sokongan Pengundi
TAPAH, 23 April – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir memaklumkan bahawa saat-saat akhir berkempen akan digunakan sebaiknya bagi memenangi hati para pengundi.
Ujarnya, peratusan undi awal yang melebihi 93 peratus semalam merupakan satu pencapaian baik dan beliau berharap ianya memihak kepada BN.
“Kita ada lagi dua hari iaitu Khamis dan Jumaat ini. Insya-Allah kita akan lipat gandakan usaha untuk berkempen di saat-saat akhir ini bagi menenangi hati pengundi di DUN Ayer Kuning.
“Saya lihat SPR maklumkan bahawa 93.4 peratus telah keluar untuk undi awal semalam. Saya rasa itu adalah satu pencapaian baik kerana peratusannya agak tinggi. Kita sudah pasti berdoa… undi dah sudah, kita berharap undi-undi tersebut memihak kepada kita.
“Kempen dari rumah ke rumah kita akan teruskan. Selepas ini saya perlu ke Bidor untuk walkabout rumah ke rumah. Kempen di media sosial juga berjalan dengan lancar kerana ini adalah salah satu usaha yang bersesuaian dengan generasi tidak kira baharu atau lama,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau merayu agar para pengundi luar pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan memilih BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan dapat dijalankan.
“Di media sosial ini juga mereka boleh lihat apa tawaran dan tekad… jadi kita boleh terangkan dan lebih mudah diakses. Saya fikir, ini adalah antara cara yang sesuai dengan zaman selain daripada rumah ke rumah, kita akan pelbagaikan lagi usaha dengan lebih hebat untuk memastikan pengundi memilih BN pada hari pengundian.
“Saya merayu kepada semua pengundi luar khususnya yang nak ‘memangkah’ calon nombor 1, BN… pulanglah ke Ayer Kuning ini untuk mengundi. Kalau tak jadi ahli parti pun tidak mengapa janji sokong calon BN.
“Macam yang saya katakan sebelum ini, Insya-Allah kita akan meneruskan pembangunan dirancang,” katanya lagi.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman