PRK Ayer Kuning: Sambutan Luar Biasa Pengundi Signal Positif Kepada BN
TAPAH, 23 April – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri percaya momentum sokongan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada tahap terbaik ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini yang memasuki minggu kedua.
Beliau meluahkan keterujaan apabila melihat sambutan luar biasa daripada mereka yang rata-ratanya memperlihatkan sokongan kepadanya.
“Sambutan yang luar biasa kita boleh lihat di mana mereka memberi sokongan yang tidak berbelah-belah bahagi kepada BN.
“Seperti biasa kita mengharapkan komitmen berterusan sehingga hari pengundian untuk kekal menyokong BN,” katanya.
Dr Ustaz Yusri berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada perjumpaan bersama pengundi masyarakat Cina di Sungai Kroh.
Mengulas lanjut, beliau turut sama berharap pengundi memanfaatkan PRK ini bagi memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal di bawah penguasaan BN.
“Kita mengharapkan mereka akan kekal untuk kemajuan dan pembangunan perusahaan rakyat,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Beliau yang juga yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah merupakan bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.
Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, Dr Ustaz Yusri mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online