Ini Bukan Kerajaan UMDap… Kerajaan Perpaduan Terbentuk Dari Kerjasama 18 Parti

TAPAH, 23 April – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 adalah hasil kerjasama bersama 18 buah parti, bukan seperti yang dimomokkan oleh pihak lawan dengan gelaran ‘UMDap’.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, tidak pernah berlaku kerjasama antara BN dan Dap secara terus apatah lagi bergabung seperti yang didakwa oleh Perikatan Nasional (PN).

“Saya nak maklumkan bahawa Kerajaan ini bukanlah Kerajaan ‘UMDap’. Kerajaan ini adalah kerajaan 18 parti. Hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Kita berhubungan dengan 18 parti.

“Oleh itu, tidak perlu kita nak ‘highlight’ UMDap sebegitu rupa. Punyalah banyak parti yang bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan ini. BN, PKR, Amanah, parti-parti Sarawak, Sabah… punyalah banyak.

“Inilah cerita sebenar tentang hubungan antara 18 parti membentuk kerajaan… sebab kalau dua parti ada lebih kurang 90 kerusi sahaja. Kita nak bentuk kerajaan perlu 112. Kerajaan 18 parti ini ada 153 kerusi. Ini bukan kerajaan dua parti, ini kerajaan 18 parti. Itulah perkara yang sepatutnya difahami oleh semua,” katanya kepada UMNO Online.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan ditubuhkan selepas PRU ke-15 disebabkan UMNO menghormati titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kerana pada masa itu tidak ada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk tubuhkan kerajaan.

Titah tersebut diterima oleh pelbagai parti teras seperti BN, PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit