Faktor Akademik, Agama Dr Yusri Bawa Kelebihan Kepada BN
TAPAH, 23 April – Exco Wanita UMNO Malaysia, Haslinda Salleh menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik sokongan daripada pengundi.
Beliau yang juga ADUN Tenang berkata ini kerana faktor akademik serta latar belakang agama sedikit sebanyak memberi impak positif kepada BN dalam mengekalkan penguasaan di kerusi ini.
“Kalau kita melihat kepada calon yang dipertandingkan daripada BN dari segi akademik itu sangat penting, seterunys beliau seorang yang ada berpendidikan agama.
“Malah daripada air muka, petuturan, tingkah laku, nampak yang calon kita ini mesra rakyat dan boleh dibawa ke tengah ke tepi dan boleh membantu rakyat pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Mengulas lanjut kata Haslinda, kesinambungan dalam pentadbiran di sesebuah kawasan penting bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam agenda pembangunan.
Menurut beliau ini kerana ia memberikan impak keapd masa hadapan rakyat dan generasi akan datang.
“Pada hari ini saya melihat kita perlu kesinambungan pemerintahan itu daripada negeri kepada Pusat. Kerajaan yang sedia ada pada hari ini adalah gabungan kerajaan BN itu sendiri antaranya bersama dengan kerajaan.
“Jadi kita perlukan itu untuk memajukan rakyat di DUN Ayer Kuning ini. Sayanglah kalau mereka tidak memilih calon daripada kerajaan kerana agak sukar untuk membangunkan sama ada dari segi pembangunan insan, pembangunan infrastruktur dan sebagainya,” ujar beliau.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional dan calon Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online