Ayer Kuning Perlu Di Bawah Kerajaan Negeri, Bawa Kesinambungan Agenda Rakyat – Salbiah

TAPAH, 23 April – Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), untuk meneruskan kesinambungan dalam membawa agenda prihatin rakyat di bawah kerajaan negeri.

Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata pengundi perlu rasional membuat keputusan pada PRK ini kerana ia akan mempengaruhi masa hadapan dan pembangunan di kawasan tersebut.

“Kerusi Ayer Kuning ini tidak pernah kalah jadi sudah tentulah saya kira kerugian bagi pengundi-pengundi di DUN ini sekiranya mereka membenarkan kerusi ini terlepas daripada menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Kerana apabila berada dalam sebahagian daripada kerajaan ia memudahkan urusan pentadbiran, pengurusan atau perkara-perkara lain yang berbangkit di DUN Ayer Kuning ini dapat diselesaikan mengikut saluran yang tepat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Temengor turut sama berharap rakyat tidak mudah termakan dengan hasutan dilakukan parti pembangkang yang akan sentiasa menimbulkan provokasi pada pilihan raya ini.

Malah katanya, penilaian sebenar perlu dilakukan dengan pentadbiran cemerlang oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam mengemudi negeri ini.

“Kita mengharapkan agar pengundi-pengundi tidak termakan dengan hasutan, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada UMNO dan BN.

“Sudah tentulah dalam situasi untuk meraih sokongan ini, pelbagai pihak akan menggunakan cara masing-masing termasuk fitnah dan sebagainya.

“Tapi untuk Perak jelas rekod telah dibuktikan di bawah pimpinan menteri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjalankan segala urusan pentadbiran negeri dengan baik, tersusun kerana kita membentuk sebuah kerajaan yang stabil,” ujar beliau.

Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79