Ahmad Jazlan Bidas Tuduhan ADUN Melor Terhadap Polis, Dakwa Bermotif Politik

KUALA LUMPUR, 23 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub membidas kenyataan Ahil Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Rohaimi Wan Daud yang mengeluarkan kenyataan terhadap Ketua Polis Negeri Kelantan, CP Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Tegasnya, dakwaan terbabit secara melulu dan tidak cermat bila mana menuduh Ketua Polis Negeri Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara sengaja mengeluarkan kenyataan negatif tentang Negeri Kelantan untuk tujuan pilihan raya di Ayer Kuning, Tapah, Perak yang bakal berlangsung pada 26 April 2025.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara serta keseluruhan pasukan polis merupakan penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan.

“Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara adalah penjawat awam dan bertugas untuk menjaga keselamatan Negara. Maka adalah tidak wajar mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan oleh polis tentang bidang tugas mereka dalam usaha memberi kesedaran dan membenteras jenayah dikalangan masyarakat.

“Ia satu tuduhan bersifat bacul dan amat berat kepada pihak polis apabila Wan Rohaimi Wan Daud mengaitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negeri Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara itu bermotifkan politik, sambil berlindung disebalik ‘imuniti’ Dewan Undangan Negeri Kelantan.”

Ketua UMNO Bahagian Machang itu juga mengecam dan mencabar tuduhan ini di luar daripada DUN bagi menunjukkan kebertanggungjawaban beliau.

“Saya mengecam kenyataan Wan Rohaimi Wan Daud dan mencabar, beliau untuk mengulang tuduhan ini sekali lagi di luar daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi menunjukkan kebertanggungjawaban di atas kenyataan jahat yang memberi persepsi buruk kepada penjawat awam dan Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit