Puteri UMNO Komited Terus Dekati Seramai Mungkin Wanita Muda

TAPAH, 22 April – Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi memaklumkan pihaknya terus komited dalam mendekati seramai mungkin pengundi dalam kalangan wanita muda bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurut beliau ia dilaksanakan secara menyeluruh jentera Puteri UMNO yang sudah berkampung di Tapah.

“Boleh dikatakan hampir 80 peratus kami sudah jejak.

“Jentera Puteri seluruh Malaysia berkampung di sini dan komited untuk kita terus mendekati wanita muda 40 tahun ini.

“Gerak kerja Puteri sangat bagus dengan apa yang telah dilakukan dan mohon juga doa daripada semua supaya kita dapat memenangi kerusi DUN Ayer Kuning pada minggu hadapan.

“Dalam pada itu saya juga terima kasih kepada jentera Wanita dan Pemuda kerana bersama-sama menjejaki seberapa ramai pengundi supaya kita boleh terjemahkan dalam kertas undi nanti,” katanya.

Nurul Amal berkata demikian usai melakukan kempen menyantuni Orang Asli di Sungai Kroh Dalam baru-baru ini.

Ketika ditanya berkenaan respon wanita muda terhadap calon diketengah BN, beliau berkata rata-rata yang ditemui menunjukkan keterujaan dengan latar belakang dimiliki Ustaz Dr Yusri.

“Sebenarnya bila saya jumpa dengan pengundi muda terutamanya pengundi pertama kali mereka tak ada banyak isu, cuma mereka mungkin ada yang teruja kerana ini adalah pertama kali mereka nak mengundi.

“… yang menarik mereka banyak bertanyakan tentang latar belakang calon, perihal kerajaan terkini dan berkenaan Puteri UMNO,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.

Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit