PRK: Manifesto BN Menyeluruh Kepada Semua Golongan Masyarakat – Jalaluddin

TAPAH, 22 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan manifesto calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir bersifat menyeluruh kepada semua golongan masyarakat.

Beliau berkata ini kerana, manifesto itu juga merangkumi semua aspek bukan sahaja pendidikan tetapi kebajikan rakyat.

“Manifesto dikeluarkan oleh calon Dr Ustaz Yusri berkaitan dengan masa depan semua generasi.

“Semua masyarakat serta anak muda yang berkaitan dengan pendidikan, ekonomi, agama, masuk ada di dalam manifesto itu.

“Bagi masyarakat orang Melayu, Cina dan India golongan pertengahan, bawahan, masuk di dalam manifesto itu.

“Dan untuk memastikan manifesto ini dapat diterjemahkan menjadi kenyataan, maka beliau harus diberi peluang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online usai bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Mengulas lanjut Jalaluddin berkata rakyat di Ayer Kuning perlu memberikan kepercayaan kepada Dr Ustaz Yusri bagi merealisasikan manifesto tersebut yang seterusnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya apatagi lagi manifesto tersebut juga seiring dengan agenda Kerajaan Perpaduan yang mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Apabila calon kita dinobat sebagai wakil rakyat saya yakin beliau boleh memastikan manifesto yang dikeluarkan itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kerana manifesto ini adalah selaras dengan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri tentang hal tuju perjuangan yang dibawa oleh kerajaan.

“Soal TVET umpamanya menjadi satu perkara penting yang dibawa dan diperjuangkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO.

“Beliau mahu lihat pendidikan melalui pendidikan TVET ini dapat kita luaskan sampai ke peringkat akar umbi, kampung, setiap golongan untuk pastikan pendidikan ini dapat kita perjuangkan terutamanya bagi orang Melayu,” ujar beliau.

Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Yusri mengumumkan menifesto beliau yang bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera.’

Ia menggariskan tiga tekad yang menjadi asas kepada keseluruhan usaha ini antaranya menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Ayer Kuning serta menolak sebarang sentimen perkauman dan politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat.

Dr Ustaz Yusri juga memaklumkan ia turut sama menghubungkan inisiatif sosioekonomi di DUN Ayer Kuning selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit