Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ Lambang Kesungguhan Calon BN – Wan Muhammad Zuhir
KUALA LUMPUR, 22 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr. Ustaz Yusri Bakir, telah mengumumkan manifestonya sebagai tanda komitmen dan kesungguhan beliau dalam menawarkan sesuatu yang bermakna kepada rakyat, kata Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali.
Menurut beliau, pengumuman itu mencerminkan kejelasan hala tuju calon BN serta keseriusan dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat setempat.
“Setiap perjuangan ada matlamatnya. Begitu juga dengan Islam ketika mula-mula memasuki Madinah untuk membentuk sebuah negara dan ia membawa tujuan yang jelas.
“Demikian juga calon BN yang tampil menawarkan diri. Manifestonya bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’, membawa harapan dan visi untuk masa depan yang lebih baik bagi rakyat di sini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tawaran yang dibentangkan bukan sekadar janji politik, sebaliknya satu bentuk komitmen tulen untuk membawa perubahan yang mampan kepada penduduk Ayer Kuning.
“Manifesto ini dirangka berasaskan keperluan sebenar rakyat, khususnya dari aspek kemudahan asas, peluang ekonomi, pendidikan, serta kebajikan golongan muda dan warga emas.
“Ia bukan manifesto kosong, sebaliknya disusun berdasarkan realiti semasa dan hasil perbincangan menyeluruh bersama pelbagai pihak di peringkat akar umbi,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Wan Muhammad Zuhir turut memberi jaminan bahawa Pemuda UMNO akan terus memainkan peranan aktif dalam membantu jentera BN sepanjang kempen PRK, bagi memastikan mesej ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ disampaikan dengan jelas kepada semua lapisan masyarakat. – UMNO Online