PRK Ayer Kuning: Calon BN Mampu Laksana, Tunai Manifesto – Mohd Puad
TAPAH, 22 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mampu untuk melaksanakan dan menunaikan manifesto yang telah dibentangkan pada Ahad, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, keselarian di antara Kerajaan Negeri Perak dan pusat yang ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan memudahkan lagi manifesto tersebut dikotakan sekiranya BN diberi mandat.
“Saya yakin calon boleh melaksanakannya… boleh menunaikannya. Ia bukannya janji bulan dan bintang… tetapi lebih kepada agenda seperti pendidikan. Oleh kerana latar belakang Dr Ustaz Yusri Bakir adalah bekas pensyarah dan sebagainya, maka saya yakin beliau boleh memenuhi agenda tersebut.
“Terutamanya, Kerajaan di Negeri Perak ini adalah Kerajaan Perpaduan. Kerajaan pusat juga adalah Kerajaan Perpaduan. Jadi saya yakin Dr Ustaz Yusri Bakir boleh menunaikan segala agenda tersebut kerana hubungan baik yang ada,” katanya.
Ujarnya, proses berkempen untuk BN pada PRK ini dilihat berjalan dengan lancar kerana kerjasama di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bertambah baik terutamanya di kalangan jentera.
“Pada saya proses berkempen untuk peringkat BN sudah tentu ‘on-track’ apatah lagi sekarang ini kita melihat kerjasama di antara BN dan PH bertambah baik. Kita meneruskan naratif yang berlaku di PRK Pulai dan Simpang Jeram.
“Itu satu permulaan yang baik tetapi bertambah baik apabila berlakunya PRK di Mahkota. Saya boleh lihat sendiri jentera PH khususnya mereka berkempen bersungguh-sungguh. Pada saya, di Ayer Kuning ini juga berlaku perkara yang sama. Sebab itu, momentum itu lebih jelas apabila jentera PH dan BN bekerjasama,” katanya.
Pada Ahad lalu, Dr Ustaz Yusri Bakir telah membentangkan manifestonya yang bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera.’
Beliau memaklumkan bahawa manifesto ini lahir daripada cetusan harapan masyarakat setempat hasil daripada mendengar sendiri cerita, luahan dan aspirasi yang dizahirkan oleh penduduk Ayer Kuning.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
BN telah mempertaruhkan Dr Ustaz Yusri Bakir sebagai calon di PRK DUN Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pertandingan tiga penjuru tersebut telah menyaksikan beliau berentap dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Sosialis Malaysia.
Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman