Malaysia Puji Tindakan Pantas AHA Centre Tangani Kesan Gempa Bumi Di Myanmar
JAKARTA, 22 April – Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, hari ini memuji tindakan pantas Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) dalam menangani kesan gempa bumi yang melanda Myanmar pada hujung bulan lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia turut menyambut baik pengaktifan mekanisme tindak balas bawah Prosedur Operasi Standard bagi Pengaturan Siap Sedia Serantau dan Penyelarasan Bantuan Bencana Bersama dan Tindak Balas Kecemasan (SASOP) bagi memudahkan pergerakan aset serta sokongan serantau untuk bantuan kemanusiaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata, penyelarasan yang pantas dan cekap berkenaan jelas membuktikan peranan penting AHA Centre dalam rangka kerja tindak balas bencana kolektif ASEAN.
“Perpaduan serantau yang ditunjukkan oleh semua negara anggota ASEAN melalui penempatan pasukan mencari dan menyelamat, bantuan kemanusiaan serta bekalan penting, jelas membuktikan semangat ASEAN yang kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke ibu pejabat Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia dan AHA Centre, di sini.
Gempa bumi bermagnitud 7.9 yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu telah meragut sekurang-kurang 3,726 nyawa dan menyebabkan 5,105 orang cedera, manakala 129 lagi masih hilang setakat 18 April.
Gegaran turut dirasai negara berhampiran, termasuk Thailand.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan kepentingan menegakkan prinsip ‘One ASEAN, One Response’ sebagai komitmen yang melampaui retorik dan ia dizahirkan dalam tindakan bersama sebagai gabungan negara ASEAN dalam mendepani bencana.
Mengulas mengenai lawatan berkenaan, beliau menzahirkan perasaan kagum terhadap kesiapsiagaan BNPB.
Beliau sekali gus percaya banyak perkara boleh dipelajari oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyelaras gerak kerja pengurusan kecemasan.
“Kita hanya ada satu (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) SMART Team yang akan menangani semua jenis bencana, tetapi BNPP mempunyai SMART Team dalam semua sektor seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, letusan gunung berapi dan kemalangan di laut,” katanya.
Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari yang berakhir hari ini.- BERNAMA