Johor Berada Dalam Landasan Tepat Melakar Masa Depan Ekonomi Lebih Inklusif
KUALA LUMPUR, 22 April – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan keyakinan bahawa negeri Johor kini berada di landasan yang tepat untuk melakar masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Menurutnya, dengan rekod pelaburan berjumlah RM48.5 bilion pada tahun 2024, serta tambahan RM27.4 bilion hanya dalam suku pertama 2025, negeri itu sedang membina momentum pertumbuhan ekonomi yang luar biasa.
“Semua ini jelas mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap kekuatan asas Johor, sebuah negeri yang bukan sahaja stabil dari segi politik dan ekonomi, tetapi juga mempunyai kedudukan geostrategik yang sangat signifikan di rantau ini dalam memacu transformasi ekonomi berskala besar.
“Bagi melengkapkan pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Kerajaan Negeri Johor turut mencadangkan penubuhan ASEAN Industrial Park dan Johor Regulatory Sandbox.
“Inisiatif ini bakal merangsang inovasi, memperkukuh rantaian bekalan serantau, serta memperluas kolaborasi dan pemindahan teknologi antara negara-negara ASEAN,” kata Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam satu perkongsian di laman Facebook.
Onn Hafiz juga bersyukur kerana berpeluang hadir ke JS-SEZ Joint Business and Investment Forum bersama Menteri Pelaburan, Industri dan Antarabangsa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Perdana Menteri Singapura H.E. Gan Kim Yong, bertempat di Persada Johor.
Jelasnya lagi, kehadiran lebih 1,000 peserta termasuk tokoh-tokoh utama sektor awam dan swasta dari kedua-dua negara mencerminkan keyakinan tinggi terhadap potensi JS-SEZ.
“Forum ini menjadi bukti keseriusan Malaysia dan Singapura dalam membina sebuah ekosistem pelaburan bertaraf dunia dan kompetitif,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MITI dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Singapura serta semua yang terlibat dalam menyokong usaha ini.
“Semoga usaha ini dapat memperkukuh kerjasama antara semua pihak sekaligus membangunkan Johor sebagai pusat pelaburan yang maju, serta memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi serantau. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE