Sokongan Terus Kukuh, UMNO Putatan Terima Penubuhan Cawangan Baharu

KOTA KINABALU, 21 April – UMNO Bahagian Putatan terus menerima suntikan semangat baharu apabila satu lagi cawangan telah berjaya ditubuhkan di Bukit Vor, menandakan sokongan rakyat yang semakin kukuh terhadap perjuangan parti keramat ini.

Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamad, menyatakan penghargaan beliau atas kemasukan ahli-ahli baharu serta penubuhan cawangan berkenaan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Abang Norman dan pasukannya kerana menerima kehadiran saya dengan begitu mesra. Terima kasih juga atas usaha yang dilaksana lantas telah tampil cawangan baharu ini bersama ahli-ahlinya,” katanya.

Menurut beliau, penubuhan cawangan baharu ini membuktikan bahawa UMNO masih mendapat kepercayaan dan sokongan akar umbi dalam kalangan masyarakat di Sabah.

“Inilah bukti jelas bahawa perjuangan UMNO masih relevan dan terus mendapat tempat di hati rakyat. Kita akan terus memperkukuh jentera parti dan memastikan suara rakyat terus dibela,” tambahnya.

Ujarnya, penubuhan cawangan Bukit Vor ini dijangka akan memperhebat gerak kerja UMNO di kawasan berkenaan, khususnya dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Terdahulu Jeffery Nor telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung dengan penuh meriah dan mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah, majlis yang berlangsung dengan suasana penuh kemesraan dan ukhuwah itu berjaya menghimpunkan sanak saudara, sahabat handai, penduduk setempat serta tetamu dari luar daerah Putatan termasuklah kepimpinan pelbagai peringkat.

“Saya merakamkan rasa terharu dan syukur atas kehadiran tetamu yang begitu ramai serta memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang majlis berlangsung.”

Apa yang lebih menyentuh hati, katanya, terdapat tetamu yang hadir walaupun dalam keadaan berkerusi roda, menunjukkan semangat silaturrahim yang tinggi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin UMNO antaranya Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, serta beberapa ketua-ketua UMNO bahagian dan anggota parti.

“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada sahabat-sahabat belia kampung, penduduk, ketua-ketua cawangan, ketua-ketua pemuda, puteri dan wanita cawangan yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini.

“Tanpa kerjasama dan komitmen anda semua, majlis ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Komitmen dan semangat berpasukan yang ditunjukkan amat kami hargai. Kehadiran anda semua amat bermakna,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit