Rasional Mengundi, Pilih Wakil Rakyat Selari Kerajaan – Mahdzir
TAPAH, 21 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk rasional pada Pilihan Raya Kecil (PKR) ini dengan memilih Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata ini kerana ia penting untuk sesebuah kawasan berada di bawah wakil rakyat kerajaan sebagai jambatan bagi membawa suara rakyat dan pembangunan di kawasan seperti mana dilakukan oleh ADUN terdahulu.
“Ayer Kuning sebelum ini diwakili oleh UMNO/BN iaitu Allahyarham Ishsam Shahruddin adalah kepimpinan UMNO Tapah, malah wakil rakyat sebelum ini juga yang sama daripada BN.
“Saya tak nampak orang di sini kena berubah ke parti lain sebab sememangnya kepimpinan daripada UMNO telah terbukti mewakili rakyat.
“Sama ada orang Melayu, Cina, India dan masyarakat orang Asli, bagi saya wakil rakyat UMNO Allahyarham Ishsam pun telah melangkaui batas kaum dari segi kerja khidmat baktinya.
“Saya yakin calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir akan buat perkara yang sama, tidak ada sebab penduduk di sini hendak tukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas melakukan ziarah kasih ke beberapa rumah di Kampung SMTD Sungai Kurong.
Mengulas lanjut berkenaan dengan gerak kerja UMNO Kedah di Ayer Kuning, beliau berkata pihaknya telah menggerakkan jentera bagi membantu sepanjang kempen di PRK ini.
Antara fokus yang dilakukan mereka dengan menyantuni penduduk tempatan di samping memperkenalkan calon BN.
“Kita telah meletakkan tenaga kerja dalam PRK Ayer Kuning sebelum penamaan calon mereka bergerak di dua PDM Kampung Sungai Kurong dan Sungai Lesong, antara gerak kerja rumah ke rumah berjumpa dengan pengundi dibantu oleh petugas di kawasan ini dan Kampar, Gopeng, Ipoh Timur
“Jentera ada di sini setiap hari melalui program kenal pasti pengundi-pengundi sama ada di sini atau luar, mereka bergerak secara aktif dan positif apabila dilihat secara keseluruhan kempen
“Pada saya kita kena rasional dan kena fikir bahawa UMNO adalah untuk perjuangan orang Melayu, kalau nak berkawan kita kawan dengan semua orang dan sekarang ada Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dr Ustaz Yusri, 54 tahun yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah pertama kali bertanding pada pilihan raya ini, beliau adalah bekas pensyarah di IPG Kampus Ipoh yang telah berkhidmat sejak 2007.
Merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, beliau mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online