PRK Ayer Kuning: Wanita UMNO Tidak Pernah Berhenti Bekerja, Raih Sokongan Pengundi
TAPAH, 21 April – Wanita UMNO tidak pernah berhenti bekerja untuk meraih sokongan pengundi kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kata Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pelbagai program telah dijalankan untuk mendekati para pengundi termasuklah berkunjung dari rumah ke rumah.
“Dari pagi tadi, kita buat pelbagai program. Pertama, program kayuhan. Kita perg rumah ke rumah, tetapi dengan menaiki basikal dan ramai jentera yang ada bersama. Seperti kebiasaannya, jentera Wanita UMNO ini memang fokus berkempen rumah ke rumah. Sebab itulah kita adakan program tersebut.
“Secara kebetulan pula, isteri Menteri Besar ada bersama kami dalam satu program bacaan yasin beramai-ramai di rumah keluarga allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Itu antara lain… tetapi yang penting saya nak nyatakan bahawa Wanita UMNO tidak pernah berhenti untuk bergerak dalam usaha meraih undi dan sokongan daripada masyarakat serta pengundi setempat kepada calon nombor 1, Dr Ustaz Yusri Bakir,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, jentera Wanita UMNO telah menerima respons yang baik sepanjang berkempen untuk calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir dan beliau mengharapkan agar parti itu kekal mengemudi kawasan DUN Ayer Kuning.
“Ada beberapa kaedah yang kami gunakan (untuk berkempen). Tetapi secara dasarnya, apa yang kami laksanakan dan mahukan adalah sokongan. Kita mengarahkan jentera wanita untuk dapatkan sokongan seramai mana yang boleh untuk membantu calon BN.
“Saya percaya daripada respons penduduk kampung dan juga pengundi-pengundi yang kami temui… memang sangat bagus terhadap calon BN. Insya-Allah kita mahukan dan harapkan agar BN kekal di DUN Ayer Kuning ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat di DUN Ayer Kuning untuk memilih calon BN sebagai pemimpin di kawasan agar segala permasalahan dibangkitkan rakyat dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
“Untuk pengundi di DUN Ayer Kuning… pada 26 April ini, apabila keluar mengundi, jangan lupa calon nombor 1. Calon nombor 1 ini, pertama beliau dah biasa dengan keadaan sini.
“Keduanya pula, beliau bersama dengan Kerajaan Perpaduan. Sebenarnya, bersama dan melalui BN sajalah, kita akan dapat membawa apa jua isu dibangkitkan oleh rakyat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman