Pilihan Raya Jihad Dakwah Bukan Jihad Perang

Pilihan raya adalah sebahagian jihad dakwah bukan jihad perang. Jihad dakwah bermaksud kita berkempen mengajak manusia menyokong dan mendokong agenda kebaikan yang dibawa oleh parti masing-masing sekiranya memenangi pilihanraya dan melaksanakan tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar sebagai semak dan imbang bagi pemerintahan.

UMNO sebagai contoh selaku parti yang mendokong cita-cita Islam dengan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagaimana termaktub pada perlembagaannya berkempen mengajak rakyat menyokong cita-cita Islam dalam negara melibatkan agenda pembangunan, ketelusan pentadbiran dan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran.

Ayat yang perlu menjadi dalil bagi penubuhan setiap parti dan perjuangan setiap parti ialah Surah Ali Imran: 104
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat (kelompok) yang menyeru kepada sebenar-benar kebaikan dan menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah mungkar. Dan mereka sebenar-benar orang yang beroleh al-Falah (kejayaan selepas kesukaran).

Hukum dakwah adalah Fardhu Kifayah bukannya Fardhu Ain maka begitulah hukum berpilihanraya juga adalah Fardhu Kifayah bukannya Fardhu Ain yang menjadi wajib secara “ain” atau atas setiap individu Islam.

Pilihanraya bukannya Jihad perang. Maka sangat tidak sesuai dibacakan ayat-ayat perang seperti:
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ
“Dan berperanglah kamu di jalan Allah memerangi orang yang memerangi kamu” (Surah al-Baqarah: 190)

Hatta Jihad Perang juga hukumnya adalah Fardhu Kifayah dan bukannya Fardhu Ain tetapi boleh menjadi Fardhu Ain bila pemerintah selaku Ulul Amri mengisytiharkannya seperti apabila negara diserang oleh musuh. Di saat itu setiap orang wajib keluar berperang sehingga wanita tidak memerlukan izin suami dan lelaki tidak memerlukan izin ibu bapa.

Kesilapan dalam memahami Tasawwur atau gambaran yang betul tentang pilihanraya menyebabkan keluar pula “fatwa” menggugurkan Haji yang wajib demi pilihanraraya.

Begitu juga keluar “fatwa” dalam program-program dalaman parti isteri tetap wajib keluar untuk mesyuarat parti apabila diarahkan oleh parti dan berkempen pilihanraya walau suami tidak mengizinkan. Anak-anak muda termasuk mahasiswa di universiti wajib keluar berkempen meskipun dilarang oleh ibu bapa kerana diqiaskan pada wajib perang.

Rentetan kesilapan memahami Tasawwur hukum pilihanraya juga menyebabkan para pengikut menjadi ganas dalam kempen piliharaya sehingga menghalalkan semua akhlak yang buruk.

Rakan saingan politik dianggap musuh yang mesti diperangi sebagaimana dalam perang Jihad atau perang Sabil menentang orang-orang Musyrikin yang memusuhi Islam.

Mencela dan menipu serta berbohong dihalalkan kerana diqiaskan dengan bolehnya melakukan tipudaya dalam peperangan sepertimana Hadis Nabi (saw)
الحرب خَدْعَة
“perang itu adalah satu tipu daya (helah)”

Semua ini berpunca dari Tasawwur tentang hakikat pilihanraya dalam konteks demokrasi moden di Malaysia.

Maka pencerahan tentang hukum semasa pilihanraya dalam Islam dalam konteks Malaysia mesti diberikan pencerahan oleh pihak berautoriti agama agar tidak sewenangnya keluar “fatwa-fatwa” mengelirukan masyarakat awam khususnya yang jahil tetapi bersemangat untuk beramal demi Islam.

Datuk Wira Dr Khairuddin Takiri
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit