Majlis Rumah Terbuka UMNO Beaufort Serlah Semangat Perpaduan Dan Muafakat
BEAUFORT, 21 April – Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Beaufort mencerminkan keutuhan dan kekuatan sebenar parti apabila ribuan rakyat pelbagai latar belakang hadir meraikan sambutan tersebut dalam suasana penuh meriah dan harmoni.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, sambutan Aidilfitri bukan hanya simbol kegembiraan, tetapi lebih penting lagi, ia menjadi platform untuk memperkukuh kesepaduan dan semangat muafakat dalam kalangan ahli parti serta masyarakat keseluruhannya.
“UMNO Beaufort terus berpijak pada asas perjuangan yang kukuh iaitu perpaduan, kebersamaan dan kerja berpasukan. Kita lihat semangat itu terzahir dengan jelas apabila kehadiran ramai masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dan kaum menunjukkan bahawa UMNO kekal relevan kerana kita membawa agenda penyatuan, bukan perpecahan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, kejayaan sesuatu organisasi politik tidak hanya diukur melalui kekuatan struktur, tetapi melalui kesepaduan akar umbi yang saling mempercayai, menyokong dan bergerak seiring ke arah matlamat bersama.
“UMNO bukan hanya sebuah entiti politik. Ia adalah keluarga besar. Semangat ‘yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul’ inilah yang harus terus menjadi amalan. Kita bina kekuatan dengan muafakat, bukan retorik termasuklah kebersamaan dalam meraikan Aidilfitri,” ujar Datuk Awang Aslee.
Terangnya, majlis yang berlangsung pada Sabtu itu turut menampilkan pelbagai aktiviti tradisi dan santai yang mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan termasuk jentera UMNO, badan-badan NGO tempatan, sukarelawan serta masyarakat yang hadir dari jauh dan dekat.
“Ini bukan hanya tentang meriahkan Aidilfitri. Ini adalah simbol kekuatan kita sebagai satu komuniti. Bila UMNO kuat, masyarakat juga akan turut kuat. Perjuangan kita bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk generasi akan datang.”
“Kemeriahan dalam masyarakat ini melambangkan hubungan erat serta komitmen UMNO Beaufort dalam terus menjadi wadah perjuangan rakyat.”
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama para kepimpinan UMNO bahagian-bahagian di negeri terbabit, selain pemimpin masyarakat, ahli-ahli UMNO dan para penduduk sekitar. – UMNO Online