Bawa ‘Fatwa Presiden Pas’ Ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan – Dr Khairuddin

KUALA LUMPUR, 21 April – Kenyataan Presiden Pas yang memberi isyarat agar ibadah haji dan umrah ditangguhkan demi kepentingan pilihan raya dianggap menimbulkan kekeliruan terhadap keutamaan dalam hukum Islam, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Khairuddin Takiri.

Menurut beliau, ibadah haji adalah satu kewajipan fardu ain yang wajib ditunaikan oleh setiap individu muslim yang cukup syarat, berbanding penyertaan dalam pilihan raya yang hukumnya fardu kifayah.

“Apabila bertembung antara kewajipan haji yang bersifat fardu ain dengan jihad yang bersifat fardu kifayah, maka wajib diutamakan fardu ain,” jelas Dr Khairuddin, sambil merujuk perbahasan para fuqaha tentang pertembungan antara ibadah haji dan jihad dalam konteks hukum fiqh.

Beliau menegaskan, dalam suasana politik semasa di Malaysia, kewajipan mengundi masih tergolong dalam kategori fardu kifayah, maka, mengutamakan pilihan raya berbanding haji tanpa sebab yang sah dari segi syarak adalah tidak tepat dan memerlukan penilaian pihak berkuasa agama.

“Fatwa umum Presiden Pas ini perlu dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dinilai dan diperjelaskan, kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, hanya pihak berautoriti seperti Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berhak menentukan perubahan hukum seperti menjadikan mengundi sebagai fardu ain, sepertimana seruan jihad yang berubah statusnya apabila diumumkan oleh pemerintah dalam keadaan darurat.

Terdahulu, Presiden Pas ketika berceramah pada majlis kempen calon Perikatan Nasional (PN) untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, baru-baru ini dilapor berkata bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji dan umrah berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit