Tindakan Bekas Ketua Wanita UMNO Perak Sertai Pas Sudah Dijangka – Saarani
TAPAH, 20 April- Tindakan bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menyertai parti Pas, tidak memberikan sebarang kesan kepada UMNO, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menteri Besar Perak berkata, tindakan Wan Norashikin, yang juga bekas Ahi Dewan Undangan Neger (ADUN) Kampong Gajah berkenaan, sudah lama dijangka.
“Kami sudah menjangkakannya sejak lama… jadi perkara itu tidak memberi sebarang kesan. Dia hanya menyebabkan kekurangan satu undi di Parlimen Pasir Salak dan DUN Kampung Gajah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sejati MADANI: Impian Jadi Realti Daerah Batang Padang di Kampung Kenangan di sini.
Wan Norashikin, yang ditemani suaminya Setiausaha Pas Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega PRK Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini malam tadi.
Dalam pada itu Saarani menangkis dakwaan Abdul Hadi pada ceramah berkenaan bahawa UMNO kini semakin lemah dengan menyifatkannya sebagai tidak mencerminkan realiti politik semasa.
Beliau berkata, UMNO masih merupakan sebahagian daripada kerajaan, sama ada di peringkat Persekutun mahupun negeri.
“Di peringkat pusat kita ada 30 kerusi dan pemimpin UMNO turut memegang jawatan penting dalam kerajaan Persekutuan termasuk Timbalan Perdana Menteri. Perak pula kita menang sembilan kerusi dan masih menjadi kerajaan, saya sendiri merupakan Menteri Besar jadi di mana dikatakan hilang taring? Itu cuma cakap sedap mulut,” katanya. – BERNAMA