PRK: Dekati Golongan Sasar… Puteri UMNO Anjur Malam Santai Anak Muda
TAPAH, 20 April – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah menganjurkan program Malam Santai Anak Muda untuk mendekati golongan tersebut terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Diadakan di Kompleks Sukan Tapah, pusat daerah mengundi (PDM) Tapah Road, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Projek Next Gen-z di bawah seliaan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, semalam.
Membuka tirai pada jam 9.00 malam, majlis tersebut dimulakan dengan ucapan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri sudah mempunyai pelbagai rancangan dalam menarik pelaburan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di negeri tersebut.
Di akhir ucapan, beliau turut berharap agar anak-anak muda yang hadir ke majlis tersebut memberi undi kepada BN pada PRK Ayer Kuning ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan dan kestabilan Kerajaan Negeri agar pembangunan dapat dicapai.
Selain itu, program tersebut turut diisi dengan sesi perkongsian bersama Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halim.
Pelbagai pandangan yang telah dikongsikan oleh kedua-dua panel semasa sesi itu berlangsung antaranya penggunaan media sosial, bagaimana untuk membezakan berita benar dan palsu di media sosial termasuklah sedikit maklumat berkenaan parti.
Anak-anak muda yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan daripada Wany Hasrita dan ‘Band PNG’.
Turut hadir, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, Siti Sokheha Nordin, Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi, barisan exco dan para jentera.
Untuk rekod lebih 3,000 para hadirin yang terdiri daripada anak-anak muda telah hadir untuk memeriahkan majlis tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman