PRK Ayer Kuning: Ini Bukan Masa Untuk Bereskperimen, Undi Calon BN – Onn Hafiz
TAPAH, 20 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk tidak menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai eksperimen.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor menzahirkan rasa syukur apabila melihat sokongan masyarakat India di DUN Ayer Kuning terhadap Barisan Nasional (BN) amat memberangsangkan.
“Syukurlah alhamdulilah pada pagi ini, saya bersama Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dan calon telah turun padang bersama jentera BN.
“Kita telah berjumpa dengan masyarakat India dan saya lihat di bawah kepimpinan Ahli Parlimen Tapah, sokongan daripada masyarakat India menunjukkan satu trend yang cukup positif.
“Saya tengok ada kebersamaan dan kemesraan di kalangan masyarakat India. Diharapkan momentum ini dapat diteruskan sehingga 26 April dan dapat diterjemahkan menjadi undi untuk menyokong calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir Insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.
Tegasnya, adalah penting untuk memastikan kawasan DUN Ayer Kuning ini terus ditadbir oleh kerajaan agar pembangunan dan kemajuan dapat dibawa bagi dinikmati masyarakat serempat.
“Saya dengar rata-rata para jentera memang bekerja keras dan kuat. Kita tidak terlalu ‘over confident’. Tetapi, kita akan terus bekerja untuk memastikan kemenangan berada di pihak BN. Insya-Allah, saya ada keyakinan.
“Saya rasa pada ketika ini bukan masa untuk kita bereksperimen. Seperti yang saya sebut tadi, kita nak supaya kawasan Ayer Kuning ini terus dimajukan dan dibangunkan. Lebih mudah untuk kita bangunkan dan pesatkan kalau wakil rakyatnya adalah bersama dengan kerajaan. Jadi kita perlu terus menyokong BN.
“Pada 26 April ini, pengundi-pengundi di kawasan Ayer Kuning jangan lupa keluar beramai-ramai untuk menyokong undi calon BN, calon nombor 1, Dr Ustaz Yusri Bakir,” katanya lagi.

Terdahulu, Onn Hafiz telah hadir ke program Sembang Santai Bersama Masyarakat India dan turut menziarahi beberapa buah rumah dalam program Ziarah Kasih.
Beliau turut meluangkan masa bersama anak-anak muda di Program Jelajah Anak Muda di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat dan Changkat Petai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman