Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Serlah Semangat Perpaduan – Jalaluddin

SEREMBAN, 20 April 2025 – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan rakyat pelbagai lapisan, menzahirkan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang negeri beradat ini.

Exco Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyeru rakyat untuk menghayati makna yang lebih mendalam di sebalik sambutan Aidilfitri.

“Apa yang kita lakukan ini adalah lebih daripada sekadar perayaan. Aidilfitri menuntut kita untuk merenung lebih dalam, melihat lebih jauh dan bertindak lebih bijaksana,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa Negeri Sembilan adalah milik semua, negeri yang meraikan perbezaan dengan penuh adab dan rasa hormat.

“Majlis seperti ini menjadi simbol bahawa Negeri Sembilan tidak menolak sesiapa, tetapi menerima semua dengan harapan dan keterbukaan,” tambah beliau lagi.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini, serta kepada rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa matang dan bersatu hati.

Beliau berharap Aidilfitri tahun ini menjadi titik tolak kepada negeri yang lebih diberkati, rakyat yang lebih bersatu dan masa depan yang lebih cerah.

Majlis yang diadakan dengan penuh adat dan kemesraan itu turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani, selain kehadiran Datuk-Datuk Undang Luak yang mencerminkan kasih sayang institusi diraja terhadap rakyat, di samping memperkukuh simbol kekuatan dan kesatuan negeri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit