Kerjasama Utuh Komponen BN, Sayap Beri Isyarat Kemenangan – Saravanan
TAPAH, 20 April – Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan percaya kerjasama yang utuh dalam kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning akan membuahkan hasil untuk mengekalkan kerusi tradisi parti ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, memberikan lagi kelebihan apabila PRK ini turut sama mendapat sokongan daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Memang terlalu komited saya lihat parti-parti BN daripada UMNO, MIC dan MCA dan juga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Tambahan pula kita dapat sokongan daripada parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.
“Ini menunjukkan bahawa calon BN akan menang seterusnya akan kekalkan Ayer Kuning sebagai kerusi tradisi BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online usai Kejohanan Bolsa sepak Piala Datuk Seri M.Saravanan yang diadakan di Stadium Mini Tapah, semalam.
Saravanan dalam pada itu juga optimis dengan sokongan rakyat pada PRK ini berdasarkan penilaian perkhidmatan terbaik dilakukan BN termasuk di Parlimen Tapah serta DUN Chenderiang dan Ayer Kuning.
“Kalau kita lihat cara berkempen dengan cara orang sebelah kempen jauh berbeza.
“Kita kempen mengikut prestasi sebelum ini menerusi program yang telah dilaksanakan khususnya dalam aspek membantu rakyat.
“Maka kita dapat lihat sokongan daripada warga Tapah sangat memuaskan dan saya cukup yakin calon BN akan menang dengan cemerlang,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri pada PRK ini berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online